BERITA TERKINI   Seleweng Dana 1MBD: Empat karya seni antarabangsa yang berjaya dibawa pulang akan diserahkan kepada Balai Seni Negara dalam masa terdekat - KP SPRM | SPRM berjaya bawa pulang empat karya seni antarabangsa yang dibeli guna dana 1MDB bernilai US$198,125 atau kira-kira RM786,556 pada 10 April lepas - KP SPRM | Malaysia telah berjaya mendapatkan semula 74.5 peratus atau RM31.3 bilion daripada keseluruhan RM42 bilion dana 1MDB yang diseleweng - KP SPRM | 

GIIB Holdings Pertimbang Pelaburan Dalam Penjagaan Kesihatan, Beri Penjelasan Terhadap Pertanyaan UMA

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- GIIB Holdings Bhd kini sedang mempertimbangkan potensi pelaburan dalam perniagaan berkaitan penjagaan kesihatan, walaupun butiran dan terma pelaburan yang dicadangkan itu masih belum dimuktamadkan.

GIIB Holdings memaklumkan demikian sebagai maklum balas kepada pertanyaan mengenai aktiviti pasaran luar biasa (UMA) yang dikeluarkan oleh Bursa Malaysia Securities Bhd hari ini, berikutan kenaikan mendadak harga dan jumlah dagangan sahamnya baru-baru ini.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu menyatakan ia akan membuat pengumuman yang diperlukan selaras dengan Keperluan Penyenaraian (LR) Bursa Securities sekiranya terdapat sebarang perkembangan material berhubung perkara tersebut.

“Lembaga pengarah tidak menyedari sebarang perkembangan korporat lain berkaitan perniagaan dan hal ehwal kumpulan yang tidak diumumkan sebelum ini, yang mungkin menjadi punca kepada aktiviti dagangan itu,” tambahnya.

Pada penutup dagangan hari ini, harga sahamnya melonjak 5.0 sen atau 45.45 peratus kepada 16 sen, dengan 56.81 juta saham diurus niaga.

Pelabur dinasihatkan supaya mengambil maklum tentang jawapan syarikat terhadap pertanyaan UMA yang akan dipaparkan di laman web Bursa Malaysia di bawah ruangan pengumuman syarikat, semasa membuat keputusan pelaburan mereka.

-- BERNAMA