Malaysia Sambut Baik Minat Embraer Teroka Peluang Di Malaysia, Buka Operasi Pemasangan -- Johari
KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Malaysia menyambut baik minat syarikat aeroangkasa Brazil, Embraer, untuk meneroka peluang di Malaysia, termasuk menubuhkan operasi pemasangannya, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata syarikat itu turut menyertai Sidang Kemuncak Aeroangkasa Malaysia 2026 akan datang, yang dijadualkan pada 25-27 Jun di MAEPS, Serdang.
Embraer kini merupakan pengeluar pesawat ketiga terbesar di dunia selepas Boeing dan Airbus.
Johari berkata hasrat itu dinyatakan semasa kunjungan hormat Duta Besar Brazil ke Malaysia, Daniella Ortega de Paiva Menezes.
“Mesyuarat itu mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan ekonomi, terutamanya dalam meningkatkan penglibatan dengan rakan strategik di rantau Amerika Latin.
“Kami membincangkan usaha untuk mempercepatkan penganjuran Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama Ke-2, perkembangan Perjanjian Kerjasama dan Fasilitasi Pelaburan (ICFA), serta pelaksanaan memorandum persefahaman (MoU) semikonduktor, yang akan membuka peluang kerjasama bernilai tinggi merentasi rantaian bekalan perindustrian global," katanya dalam catatan Facebooknya di sini malam ini.
Majlis pertukaran MoU itu berlangsung pada akhir Oktober tahun lepas yang turut dihadiri Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, yang mengunjungi negara ini bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan sebagai tetamu pengerusi ASEAN.
Pada 2024, Brazil merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Amerika Latin, dengan jumlah perdagangan dua hala sebanyak RM20.36 bilion (US$4.46 bilion).
Eksport Malaysia termasuk produk elektrik dan elektronik, minyak sawit, getah dan farmaseutikal halal, manakala importnya pula terdiri daripada bijih, makanan diproses dan produk petroleum.
-- BERNAMA