Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi, Menjejaki Keuntungan Dalam Pasaran Minyak Soya
Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives terus ditutup tinggi hari ini selepas dipacu oleh kenaikan dalam harga minyak kacang soya, menurut seorang peniaga.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata jangkaan stok simpanan yang lebih rendah juga menyokong sentimen pasaran.
"Kami melihat harga disokong melebihi paras RM4,600 setan dan rintangan pada RM4,750," katanya kepada Bernama.
Pada penutupan, kontrak Mei 2026 dan Julai 2026 masing-masing meningkat RM88 setiap satu kepada RM4,642 serta RM4,710 satu tan dan Jun 2026 melonjak sebanyak RM91 kepada RM4,681.
Kontrak Ogos 2026 menokok RM83 kepada RM4,721 satu tan, September 2026 menambah RM76 kepada RM4,722 dan Oktober 2026 naik RM69 kepada RM4,720.
Jumlah dagangan menunjukkan peningkatan kepada 91,276 lot berbanding 53,253 pada Isnin, manakala kepentingan terbuka mencerminkan kenaikan kepada 272,309 kontrak daripada 264,144.
Harga MSM fizikal bagi Selatan Mei untung RM50 kepada RM4,650 satu tan.
-- BERNAMA