RT Pastry-KAF Investment Bank Meterai Perjanjian Taja Jamin IPO Pasaran ACE
KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- RT Pastry Holdings Bhd (RT Pastry) memeterai perjanjian taja jamin dengan KAF Investment Bank Bhd sebagai sebahagian pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) serta penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Pengeluar produk pastri dan bakeri itu dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE menjelang suku kedua tahun ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata IPO berkenaan melibatkan terbitan sebanyak 91.54 juta saham biasa baharu, mewakili 27 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesar.
“Daripada jumlah saham baharu itu, sebanyak 16.96 juta akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia, manakala 6.78 juta diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan penyumbang lain yang layak.
“Sebanyak 42.38 juta saham lagi akan diperuntukkan melalui tawaran awam persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, manakala 25.42 juta saham ditawarkan kepada pelabur institusi dan terpilih,” katanya.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Lu Chun-Neng berkata IPO itu akan menyediakan platform kepada syarikat untuk memperluas rangkaian runcit serta menaik taraf keupayaan pembuatannya.
“Pelaksanaan IPO itu juga untuk memastikan kumpulan terus memberikan nilai dan kualiti di sebalik setiap produk pastri kepada pelanggan setia serta pelabur baharu,” katanya.
Menurut RT Pastry, hasil daripada IPO itu akan digunakan antara lain untuk pembukaan cawangan baharu, pembelian mesin dan peralatan serta pembayaran balik pinjaman bank, yang akan menyokong pertumbuhan jangka panjang serta kecekapan operasi kumpulan.
KAF Investment Bank bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi pelaksanaan IPO tersebut.
-- BERNAMA