BERITA TERKINI   PM jamin kontraktor kecil berprestasi baik akan diberi lebih banyak kontrak untuk berkembang | Peruntukan perolehan kerja untuk Kementerian Pendidikan dinaikkan daripada RM400 juta kepada RM900 juta - PM Anwar | Guru jadi pempengaruh media sosial perlu jaga adab, hujah berlandaskan fakta - PM Anwar | BN umum tanding di semua 56 kerusi DUN pada pilihan raya negeri Johor akan datang - Onn Hafiz | Kerajaan laksana penstrukturan semula kurikulum TVET tahun ini - TPM Ahmad Zahid | 

MATRADE Raih Potensi Eksport RM126.42 Juta Di SEMICON Asia Tenggara 2026

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) meraih prospek jualan dan peluang eksport berpotensi bernilai RM126.42 juta melalui Program Pencarian Sumber Antarabangsa (INSP) yang diadakan bersempena SEMICON Asia Tenggara 2026.

Menurut MATRADE dalam kenyataan, INSP menghimpunkan 14 pembeli antarabangsa daripada 12 ekonomi iaitu Austria, Mesir, Perancis, Hong Kong, Itali, Arab Saudi, Singapura, Switzerland, Taiwan, Turkiye, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Sebanyak 49 syarikat Malaysia telah menyertai 105 sesi pertemuan perniagaan yang telah dijadualkan lebih awal, yang dilaksanakan secara bersemuka dan maya.

“Pembeli yang turut serta mewakili segmen utama merentasi rantaian nilai semikonduktor dan pembuatan termaju, termasuk pengeluar peranti bersepadu, penyedia pemasangan dan ujian semikonduktor penyumberan luar, syarikat aeroangkasa dan pemaju tenaga boleh baharu.

“Antara keperluan sumber yang diketengahkan adalah barang dan komponen berketepatan tinggi, penyelesaian automasi kilang, pemasangan papan litar bercetak, kabel dan harnes wayar, peralatan ujian automatik dan pembekal komponen, penyepadu sistem serta penyelesaian bilik bersih dan bahan guna habis termasuk pakaian pelindung, baju makmal, beg anti-statik dan sarung tangan,” menurutnya.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Abu Bakar Yusof berkata dalam tempoh sedekad lepas, agensi itu telah menganjurkan INSP bersempena dengan SEMICON Asia Tenggara.

Menurutnya program itu telah berjaya menghubungkan 327 perusahaan kecil dan sederhana dengan 51 pembeli antarabangsa daripada 19 ekonomi bagi pelbagai produk dan perkhidmatan elektrik dan elektronik (E&E), sekali gus menjana jualan eksport bernilai hampir RM1 bilion.

Melalui inisiatif seperti INSP, MATRADE terus membina hubungan perniagaan dan menyediakan platform promosi strategik kepada syarikat Malaysia untuk mengembangkan operasi di peringkat global, katanya.

Sektor E&E Malaysia kekal sebagai komponen terpenting eksport pembuatan negara, menyumbang sebanyak 44.3 peratus daripada jumlah eksport pada 2025 bernilai RM711.44 bilion, dengan peningkatan hampir 29 kali ganda dalam tempoh 35 tahun.

-- BERNAMA