BERITA TERKINI   Lepasan SPM digalakkan teroka peluang TVET pertanian, jadi tenaga mahir dalam sektor agri-komoditi negara - TPM Ahmad Zahid | Permodalan Nasional Bhd lantik Datuk Rizal Rickman Ramli sebagai presiden dan ketua eksekutif kumpulan, berkuat kuasa 1 Julai 2026 | PM Anwar tiba di Cebu untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 | Dasar sosial hanya bernilai apabila ia mampu mengubah kehidupan rakyat menjadi lebih baik - TPM Ahmad Zahid | Dasar sosial bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi libatkan penjagaan, sokongan keluarga dan maruah hidup - TPM Ahmad Zahid | 

ASEAN Perlu Rangka Kerja Praktikal Bagi Simpanan Stok Minyak - Johari

Daripada Niam Seet Wei

CEBU (Filipina), 7 Mei (Bernama) -- ASEAN perlu mengambil langkah ke arah mewujudkan rangka kerja praktikal untuk penyimpanan stok minyak bagi meningkatkan keselamatan tenaga dan kesiapsiagaan rantau ini untuk tempoh jangka panjang, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata itu antara isu utama yang dibincangkan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Singapura Gan Kim Yong bersempena dengan Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN ke-27 di sini hari ini.

“Kami bertukar pandangan mengenai kepentingan negara anggota ASEAN memainkan peranan yang lebih proaktif dan praktikal dalam memperkukuh daya tahan ekonomi serantau dan keselamatan tenaga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Johari berkata mereka turut membincangkan perkembangan ekonomi serantau semasa dan impak daripada ketegangan geopolitik yang meningkat terhadap perdagangan dan rantaian bekalan global.

“Malaysia dan Singapura berkongsi hubungan ekonomi yang erat dan strategik.

“Saya percaya kerjasama serantau yang lebih kukuh dan pendekatan pragmatik akan kekal penting dalam memastikan ASEAN terus berdaya tahan, berdaya saing dan relevan dalam landskap global yang semakin mencabar,” katanya.

-- BERNAMA