BERITA TERKINI   KPT struktur semula 36 politeknik, tawar pengajian peringkat Ijazah dan Sarjana selari keperluan industri berteknologi tinggi - Zambry | Permintaan buruh Malaysia meningkat 1.8 peratus tahun ke tahun, merekodkan 9.23 juta jawatan pada suku pertama 2026 - DOSM | Kerajaan teliti insentif untuk percepat penggunaan trak EV susulan peningkatan kos subsidi diesel - Loke | Malaysia perlu bina kemampuan eksport berdaya tahan dan tidak bergantung kepada pelepasan tarif sementara AS - Akmal Nasrullah | Pertumbuhan ekonomi negara suku pertama 2026 dijangka menepati unjuran awal 4-5 peratus - Akmal Nasrullah | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Khamis, menjejaki kejatuhan dalam harga minyak mentah dan minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT), kata seorang peniaga.

Harga minyak mentah Brent dilaporkan menyusut sebanyak 3.34 peratus kepada US$97.54 setong.

Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata berita mengenai potensi gencatan senjata dalam krisis Asia Barat telah mendorong harga tenaga menjadi lebih rendah, yang seterusnya menjejaskan harga MSM.

“Kami melihat harga disokong melebihi paras RM4,480 dan rintangan pada RM4,600,” katanya kepada Bernama.

Pada penutupan, kontrak Mei 2026 dan Oktober 2026 merosot RM36 setiap satu kepada RM4,491 serta RM4,556 satu tan, manakala Jun 2026 turun RM40 kepada RM4,507.

Kontrak Julai 2026 adalah lebih rendah sebanyak RM38 kepada RM4,541 satu tan, Ogos 2026 menyaksikan kejatuhan kepada RM4,555 dan September menyusut RM35 kepada RM4,558.

Jumlah dagangan turun kepada 90,258 lot daripada 113,819 lot yang dicatatkan pada Rabu, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 283,723 kontrak berbanding 281,781 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Selatan Mei melemah sebanyak RM40 kepada RM4,550 satu tan.

-- BERNAMA