BERITA TERKINI   Bekalan minyak negara masih mencukupi, belum perlu catuan - PM Anwar | PM Anwar umum peruntukan RM5 juta kepada Majlis Belia Malaysia | PM Anwar gesa agensi pembangunan usahawan pergiat usaha turun padang kenal pasti keperluan usahawan, bukan hanya tunggu di pejabat | 

Penyelesaian Bersasar Lebih Berkesan Atasi Kejutan Bekalan, Bukan Dasar Monetari - BNM

Oleh M. Saraswathi & Karina Imran

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Dasar monetari pada asasnya adalah instrumen pengurusan permintaan justeru secara amnya kurang sesuai dalam mengatasi kejutan yang didorong penawaran seperti kenaikan harga bahan api dan komoditi, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata selain itu, dasar monetari merupakan alat dasar yang lemah yang menjejaskan keseluruhan ekonomi, sebaliknya penyelesaian bersasar mungkin lebih berhemat dan berkesan bagi situasi kejutan penawaran.

Bagaimanapun, BNM kekal berwaspada sekiranya tekanan harga menjadi lebih meluas dan berterusan, katanya.

“Jika tekanan harga daripada kejutan penawaran ini menjadi lebih meluas dan berpanjangan, maka mungkin peranan untuk dasar monetari (melakukan) intervensi,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Abdul Rasheed berkata mekanisme sokongan telah tersedia dan sedang dimaklumkan secara proaktif kepada perniagaan yang terjejas.

Beliau berkata penting untuk mengekalkan pendekatan berhemat dan berdisiplin terhadap fiskal dan dasar monetari bagi memelihara penampan kewangan sekiranya keadaan menjadi lebih teruk.

“Daripada memperkenalkan pakej rangsangan yang bersifat menyeluruh, bantuan (berasaskan penyelesaian bersasar) akan tertumpu kepada sektor dan perniagaan tertentu yang menghadapi kesukaran kewangan sebenar,” katanya.

-- BERNAMA