BERITA TERKINI   Liga Super: Sabah FC 0-1 Terengganu FC | Liga Super: Penang FC 2-1 DPMM FC |  54 kapal GSF kini berada di garisan kuning dua, kira-kira 340 batu nautika dari pantai Gaza -- KP SNCC  | Kapal GSF dijangka memasuki zon berisiko tinggi malam ini, berpotensi berdepan pemintasan - KP SNCC | Pada 6 petang, ringgit turun kepada 3.9515/9580 berbanding dolar AS, daripada 3.9300/9330 ketika ditutup pada Khamis | 

Anak Syarikat Parkson Perbaharui Pajakan Di Shanghai Sehingga 31 Disember, 2036

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Parkson Holdings Bhd melalui anak syarikat milik 54.97 peratusnya, Parkson Retail Group Ltd (PRGL), memperbaharui pajakan hartanah runcitnya di Shanghai Hongqiao, China untuk tempoh 10 tahun lagi sehingga 31 Disember, 2036.

Parkson dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini menyatakan Shanghai Hongqiao Parkson Development Co Ltd, anak syarikat milik penuh tidak langsung PRGL, telah memeterai perjanjian pembaharuan pajakan dengan Shanghai Changning Real Estate Management Co Ltd hari ini.

“Kumpulan itu telah mengendalikan dan menguruskan gedung serbaneka di Shanghai selama lebih 30 tahun yang mana kumpulan dan jenama Parkson mengekalkan reputasi, nama baik dan pengiktirafan pasaran yang kukuh, selain menghimpunkan pelbagai jenama, pelanggan dan sumber kerajaan.

“Shanghai terus menjadi pusat kewangan yang paling padat dengan penduduk, mempunyai pendapatan perkapita boleh guna yang tinggi dan prospek yang semakin meningkat, menjadikannya medan persaingan yang amat strategik bagi semua perusahaan yang mahu mengembangkan operasi perniagaan mereka di China,” katanya.

Parkson menyatakan pertimbangan bagi pemerolehan aset hak guna yang diiktiraf di bawah Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa 16 (IFRS 16) adalah kira-kira 374.5 juta yuan (satu yuan = RM0.58).

Parkson menyatakan bahawa transaksi itu merupakan pemerolehan yang sangat ketara di bawah Peraturan yang Mengawal Penyenaraian Sekuriti di Bursa Saham Hong Kong Ltd memandangkan nisbah peratusan tertinggi yang terpakai adalah melebihi 100 peratus.

Ia memaklumkan sewa tetap bulanan untuk hartanah itu ialah 5.19 juta yuan bermula 1 Julai, 2026 sehingga 30 September, 2031 dan 5.34 juta yuan bermula dari 1 Oktober, 2031 sehingga 31 Disember, 2036.

Ia menambah Shanghai Changning Real Estate Management telah bersetuju untuk memberikan tempoh tanpa sewa selama 10 bulan sepanjang tempoh pajakan, sebagai tambahan kepada dua tempoh pengubahsuaian yang berjumlah enam bulan.

-- BERNAMA