Ringgit Dijangka Diniagakan RM3.90–RM3.95 Minggu Depan Menjelang Mesyuarat Trump-Xi

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) --  Mata wang ringgit dijangka diniagakan dalam julat RM3.90 hingga RM3.95 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan menjelang pertemuan penting antara Presiden Donald Trump dan Presiden Xi Jinping.

Menurut laporan media, Trump dijadualkan bertemu Xi dalam kunjungannya ke Beijing pada minggu depan ketika kedua-dua negara cuba memulihkan hubungan yang dijejaskan oleh ketegangan membabitkan perdagangan, Taiwan serta perang Iran.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kalangan pelabur berharap krisis AS-Iran akan mereda dan pertemuan kedua-dua pemimpin itu berpotensi membuka ruang menamatkan perang itu.

“Bagaimanapun, keadaan di Asia Barat akan terus menjadi faktor penting yang dapat mengubah hala tuju pasaran secara mendadak,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat domestik, pasaran turut menunggu pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2026 yang akan diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 15 Mei ini.

Menurut laporan, KDNK Malaysia di landasan untuk mencapai pertumbuhan 5.3 peratus, didorong terutamanya oleh pengembangan meluas merentasi beberapa subsektor, termasuk pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan.

Dari segi perbandingan mingguan, pasaran tempatan ditutup pada 1 Mei lepas bersempena cuti umum Hari Pekerja.

Ringgit diniagakan mengukuh berbanding dolar AS pada paras 3.9185/9230 hari ini berbanding 3.9690/9740 pada Khamis minggu lepas.

Unit tempatan itu turut diniagakan meningkat berbanding kumpulan mata wang utama pada minggu ini.

Ini termasuk mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3354/3416 daripada 5.3593/3661, naik berbanding euro kepada 4.6121/6174 daripada 4.6417/6476 namun turun berbanding yen Jepun kepada 2.5010/5040 daripada 2.4907/4942.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya meningkat berbanding mata wang ASEAN.

Berbanding baht Thailand, ringgit meningkat kepada 12.1640/1844 daripada 12.1711/1932, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 225.4/225.7 daripada 228.7/229.2 dan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0910/0948 daripada 3.1061/1103.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding peso Filipina kepada 6.46/6.47 daripada 6.45/6.47.

-- BERNAMA