Niaga Hadapan Emas Minggu Hadapan Dijangka Didagangkan Dalam Jajaran Sempit
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka didagangkan dalam jajaran sempit antara US$4,680 hingga US$4,780 setiap auns troy pada minggu depan, dengan jangkaan ketegangan di Asia Barat berkurangan.
Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, memandangkan hubungan rapat emas dengan risiko inflasi yang dipacu minyak mentah, harga pada minggu hadapan mungkin akan bergantung pada pengurangan ketengangan dalam konflik Asia Barat.
“Jika itu berlaku, hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) boleh menjunam lebih rendah, dan jangkaan pemotongan kadar faedah Rizab Persekutuan AS mungkin meningkat, ini akan menguntungkan emas,” katanya kepada Bernama.
Pasaran tempatan ditutup Jumaat lalu sempena cuti umum Hari Buruh.
Dari minggu ke minggu, kontrak bulan semerta Mei 2026 meningkat kepada US$4,743.70 setiap auns troy daripada US$4,659.50 setiap troy auns yang dicatatkan pada minggu sebelumnya, manakala kontrak Jun 2026 meningkat kepada US$4,757.70 setiap auns troy daripada US$4,670.20.
Kontrak Julai, Ogos dan Oktober 2026 diselesaikan lebih tinggi pada US$4,772.70 setiap auns troy berbanding US$4,670.20 setiap auns troy pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan mingguan naik kepada 68 lot daripada 65 lot, manakala kepentingan terbuka merosot kepada 68 kontrak daripada 97 kontrak.
Berdasarkan penetapan petang pada 7 Mei 2026 di London Bullion Market Association, emas fizikal ditetapkan pada US$4,743.35 setiap auns troy.
-- BERNAMA