BERITA TERKINI   Bot Karam di Pulau Pangkor: 23 pendatang Indonesia selamat, 14 masih hilang, SAR diteruskan - Pengarah Maritim Perak | Jururawat kerjaya mulia, pengorbanan dilakukan besar nilainya kepada rakyat dan negara - PM Anwar | PM Anwar ucap selamat Hari Jururawat Sedunia, hargai pengorbanan dan jasa jururawat | 

Hartanah Kekal Sebagai Lindung Nilai Di Tengah-tengah Tekanan Harga Tenaga -- RHB IB

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) --  Hartanah kekal sebagai lindung nilai yang baik terhadap peningkatan tekanan inflasi berikutan lonjakan harga tenaga yang berpunca daripada konflik Asia Barat, kata RHB Investment Bank Bhd (RHB IB).

RHB IB melalui satu nota penyelidikan berkata ini disokong lagi oleh jangkaan bahawa kos bahan binaan, buruh dan tanah yang lebih tinggi akan terus meningkatkan kos pembangunan secara menyeluruh termasuk kos penggantian yang lebih tinggi untuk hartanah baharu.

“Walaupun pasaran mungkin bimbang mengenai kemungkinan kenaikan kadar faedah, kami percaya ringgit yang lebih kukuh sepatutnya menyokong persekitaran kadar faedah yang stabil,” tambahnya.

Ia tidak menjangkakan pemaju akan menyemak semula sasaran jualan mereka selepas pengumuman keputusan pada Mei nanti.

“Sesetengahnya mungkin menunggu dan melihat sebelum mengambil sebarang tindakan, manakala majoriti pemaju tetap meneruskan pelancaran mereka seperti yang telah dirancang,” katanya.

Ia masih melihat permintaan dalam sektor itu, dengan jualan kekal berdaya tahan pada suku pertama 2026, walaupun adanya konflik geopolitik AS-Iran, yang bermula pada akhir Februari dan mungkin menjejaskan sektor itu.

Pemaju tidak akan melihat kesan besar pada margin suku pertama 2026 tetapi margin keuntungan dalam beberapa suku akan datang mungkin terjejas jika ia berpanjangan.

Walaupun menghadapi tekanan pasaran, RHB IB berkata pemaju tetap meneruskan langkah pengewangan aset mereka, dengan usaha membuka nilai dari suku sebelumnya, ini kekal sebagai pemangkin sektor terpenting.

“Kami percaya syarikat yang mempunyai langkah pengewangan yang serupa, sewajarnya mengalami trend yang sama,” katanya lagi.

-- BERNAMA