BERITA TERKINI   Isu hina sahabat Nabi: Waspada keluarkan kenyataan fatwa, pastikan kesahihan - Zulkifli | Pusat Mediasi MADANI akan dilancarkan di Kuala Lumpur pada 18 Mei - Fahmi | PM Anwar arah kementerian terlibat lakukan libat urus untuk pastikan bantuan kewangan sampai kepada penjaja - Fahmi | Malaysia kesal keputusan Kerajaan Norway tidak lulus permit eksport perolehan siri peluru berpandu pada saat akhir - Fahmi | Piala Dunia FIFA 2026: Kesemua 104 perlawanan akan disiarkan di platform RTM dan Unifi TV - Fahmi | 

BUDI95 Mekanisme Penting Bagi Urus Permintaan Bahan Api -- Liew

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dilihat sebagai satu mekanisme pengurusan permintaan yang berguna dan penting dalam memahami pola penggunaan di peringkat negara, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.

Beliau berkata inisiatif itu yang diperkenalkan pada September tahun lepas dengan peruntukan kuota subsidi sebanyak 300 liter sebulan sebelum diselaraskan kepada 200 liter sebulan.

“Bagi saya, kebimbangan utama negara adalah bagaimana untuk memastikan bekalan yang konsisten dan selama mungkin, walaupun perang (di Asia Barat) itu berlanjutan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi bual santai bertemakan ‘Malaysia’s Response to Global Energy Crisis: Build Back Better’ yang dikendalikan oleh Timbalan Editor The Edge, Emir Zainul.

Menjelaskan selanjutnya, Liew berkata aspek komunikasi yang jelas selain mendapat sokongan awam secara meluas untuk meminimumkan penggunaan sebanyak mungkin dan memastikan bekalan jangka panjang, dapat membantu menangani isu fiskal dari sudut tertentu.

Beliau turut menegaskan usaha memastikan akses berterusan terhadap bekalan bahan api, walaupun pada paras yang diselaraskan, adalah penting memandangkan kestabilan politik serta sosial akan membolehkan Malaysia menangani isu itu dengan lebih yakin.

Malaysia juga, katanya, memasuki krisis itu pada kedudukan yang secara relatifnya kukuh, malah ketika banyak negara menyemak turun unjuran pertumbuhan selepas Februari, prospek negara ini diunjur berdaya tahan.

“Konsensus pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangkakan dalam julat 4.5-5.0 peratus (sebagaimana diumumkan oleh Bank Negara Malaysia) yang jauh lebih tinggi daripada unjuran kerajaan pada 4.0-4.5 peratus pada Oktober lepas.

“Kita memasuki krisis ini daripada satu kedudukan yang kukuh. Bagaimanapun, kita juga perlu beringat bahawa krisis ini mungkin lebih lama daripada jangkaan awal,” katanya.

Pada masa sama, Liew berkata Malaysia perlu menggunapakai pendekatan ‘build-back-better’ (pembangunan semula dengan lebih baik) menerusi tindakan menterjemah keadaan pasca krisis yang diingini dan usaha bagi menentukan langkah-langkah sesuai untuk merealisasikannya.

-- BERNAMA