BERITA TERKINI   Kejuaraan Kelab ASEAN 2025/2026: Buriram United 1-2 JDT | Fasa Monsun Barat Daya bermula esok, cuaca lebih panas, kering, taburan hujan rendah - TPM Ahmad Zahid | Kejuaraan Kelab ASEAN 2025/2026: Nam Dinh 0 - 2 Selangor FC | 430 motosikal Honda model CMX500A dan CBR650RAC dipanggil semula bermula 25 Mei berikutan isu teknikal - JPJ | Proses peralihan, penukaran MyKad Struktur Baharu tidak ganggu proses penebusan bantuan kerajaan termasuk SARA, BUDI95 - JPN  | 

Ringgit Mengukuh Berbanding Dolar AS, Mata Wang Utama Menjelang Pertemuan Trump, Xi

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Ringgit mengakhiri urus niaga Rabu dengan mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lain, dipacu oleh peningkatan sentimen terhadap mata wang Asia menjelang pertemuan penting Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping minggu ini.

Pada 6 petang ini, ringgit meningkat ke paras 3.9285/9325 berbanding dolar AS daripada 3.9320/9360, semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang Asia dilihat mengukuh berbanding dolar AS ketika pasaran menumpukan pertemuan AS-China itu yang dijadualkan pada 14-15 Mei, 2026.

“Pasaran kelihatan mengharapkan hasil positif daripada mesyuarat itu, terutama mengenai isu membabitkan perang di Iran serta Selat Hormuz,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Mohd Afzanizam berkata keadaan kekal goyah dan sentimen pasaran berkemungkinan mudah beralih kepada pendirian mengelak risiko.

Pada masa sama, tumpuan juga terarah kepada pengumuman prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2026 dengan Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengunjurkan ekonomi negara berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku pertama 2026.

Dalam pada itu, ringgit ditutup meningkat berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ini termasuk naik berbanding yen Jepun kepada 2.4888/4916 daripada 2.4952/4979, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3105/3160 daripada 5.3231/3286 dan naik berbanding euro kepada 4.5987/6034 daripada 4.6189/6236, semalam.

Ringgit bagaimanapun kebanyakannya menyusut berbanding mata wang serantau.

Berbanding dolar Singapura, ringgit naik kepada 3.0872/0906 daripada 3.0888/0922 namun susut berbanding rupiah Indonesia kepada 224.7/225.1 daripada 224.3/224.6, turun berbanding peso Filipina kepada 6.40/6.41 daripada 6.39/6.41 serta rendah berbanding baht Thailand kepada 12.1419/1599 daripada 12.1276/1455 sebelumnya.

-- BERNAMA