Aktiviti Perdagangan Domestik Malaysia Kekal Kukuh Di Tengah-tengah Ketidaktentuan Geopolitik - KPDN

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Aktiviti perdagangan domestik Malaysia kekal berdaya tahan dan terus berkembang di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik yang berterusan, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Timbalan Menterinya Datuk Dr Fuziah Salleh berkata kerajaan kekal komited bagi memastikan rakyat terus disokong selain ekosistem perdagangan negara kekal mampan.

“Melalui penambahbaikan kawal selia dan sistem kawalan, KPDN menyasarkan untuk mengurangkan birokrasi supaya para usahawan dapat menumpukan perhatian kepada pertumbuhan dan bukannya dibebankan oleh kerenah birokrasi pentadbiran.

“Kami sentiasa memantau integriti rantaian bekalan domestik. Apabila rantaian bekalan stabil, risiko gangguan perniagaan dapat dikurangkan sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur dan penggiat industri untuk terus berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada majlis pelancaran 7 Strategi Pertumbuhan Mega 2026 di sini hari ini.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, nilai jualan dalam sektor perdagangan pengedaran yang merangkumi borong, runcit dan kenderaan bermotor mencecah RM169 bilion pada Mac 2026, meningkat 9.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Data daripada Bahagian Analisis Ekonomi dan Data Strategik di bawah Bahagian Dasar, Perancangan Strategik dan Antarabangsa KPDN menunjukkan peningkatan kukuh dalam nilai jualan bagi perdagangan borong dan runcit pada suku pertama 2026, meningkat sebanyak 7.5 peratus daripada 4.6 peratus pada suku pertama 2025.

Fuziah berkata dalam situasi ekonomi global yang semakin kompleks ini, perniagaan perlu lebih strategik dalam merangka hala tuju dan pembangunan perniagaan masing-masing.

Beliau menyatakan syarikat-syarikat harus terus membina jenama, memperkukuh kedudukan pasaran serta meningkatkan kepercayaan pelanggan.

“Keterlihatan, kredibiliti dan kedudukan strategik kini merupakan faktor penting yang mempengaruhi kejayaan sesuatu perniagaan,” kata Fuziah.

Program 7 Strategi Pertumbuhan Mega 2026 yang dianjurkan oleh KNKV Group Sdn Bhd menghimpunkan pemimpin korporat, usahawan, pemain industri, wakil diplomatik, ahli media serta komuniti perniagaan tempatan dan antarabangsa.

Ia membincangkan strategi pertumbuhan perniagaan selain mengukuhkan daya tahan keusahawanan di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global semasa.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan KNKV Datuk Seri Dr. Zurainah Musa berkata program berkenaan menghimpunkan pakar daripada pelbagai industri dan sektor bagi menggalakkan dialog bermakna, perkongsian ilmu serta kerjasama rentas sempadan yang mampu mencipta nilai jangka panjang.

"Saya percaya sesi perkongsian hari ini akan memberikan pandangan yang berharga mengenai keterlihatan strategik, kedudukan perniagaan, kesiapsiagaan undang-undang dan kemampanan pertumbuhan.

“Kami berharap platform ini akan membuka peluang kerjasama antarabangsa yang lebih luas, peluang perdagangan dan kerjasama strategik di antara Malaysia dengan komuniti perniagaan global,” kata Zurainah.

-- BERNAMA