AirAsia X Catat Kerugian Bersih RM154.88 Juta Suku Pertama Susulan Susut Nilai Mata Wang
KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- AirAsia X Bhd merekodkan kerugian bersih sebanyak RM154.88 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2026 berikutan kerugian pertukaran asing bersih sebanyak RM232.2 juta susulan susut nilai mata wang tempatan termasuk baht Thailand, rupiah Indonesia dan peso Filipina berbanding dolar AS sepanjang tempoh berkenaan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat penerbangan itu berkata hasil bagi suku tersebut direkodkan sebanyak RM5.95 bilion, selain mencatat pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) berjumlah RM1 bilion.
Syarikat itu memaklumkan kira-kira 15 peratus daripada 204 pesawat beroperasi tidak digunakan sepanjang suku tersebut, manakala keuntungan operasi bersih kumpulan ialah RM198.6 juta sebelum mengambil kira susut nilai dan kos kewangan bagi pesawat tidak beroperasi.
AirAsia X Bhd berkata aliran tunai operasi kekal positif disokong oleh peningkatan keseluruhan perniagaan.
“Lembaga pengarah kekal berhati-hati tetapi optimistik, dengan memastikan struktur kos yang ringan serta pengurusan aliran tunai yang kukuh, kumpulan berada dalam kedudukan baik untuk keluar daripada tempoh ketidaktentuan ini sebagai syarikat penerbangan yang lebih berdaya tahan dan efisien,” katanya.
Kumpulan itu memulakan 2026 dengan langkah transformasi apabila berjaya menyempurnakan penggabungan AirAsia Bhd dan AirAsia Aviation Group Ltd pada 16 Jan 2026, yang mewujudkan platform penerbangan lebih besar dengan tujuh syarikat penerbangan di bawah satu rangkaian.
Bagaimanapun, suku pertama turut mencerminkan persekitaran makro yang mencabar dengan ketidaktentuan harga bahan api jet yang tinggi serta ketidaktentuan geopolitik.
Susulan lonjakan harga bahan api jet sejak Mac 2026, kumpulan itu memberi tumpuan kepada perlindungan margin secara berdisiplin dan kecekapan kos.
AirAsia X turut mengutamakan daya tahan kunci kira-kira serta pemeliharaan tunai dan kecairan bagi mengharungi persekitaran harga bahan api yang tinggi, selain berjaya mendapatkan pembiayaan kira-kira US$300 juta pada suku pertama 2026 yang sebahagiannya digunakan untuk membiayai semula hutang sedia ada pada kadar lebih baik serta mengurangkan obligasi prinsipal bagi 2026.
“Kami terus mengoptimumkan modal kerja melalui penglibatan aktif dengan ekosistem pembekal serta bekerjasama rapat dengan kerajaan serantau bagi mengurangkan beban kos melalui penjimatan dan sokongan lain,” kata AirAsia X.
Meskipun strategi jangka panjang kumpulan untuk membina rangkaian syarikat penerbangan tambang rendah global pertama di dunia kekal utuh, disokong ketibaan A321LR pertama serta tempahan baharu 150 pesawat A220, keutamaan ketika ini adalah mengharungi ketidaktentuan pasaran semasa.
AirAsia X berkata unjuran harga bahan api jet kekal tinggi berbanding purata terdahulu dan pihaknya akan terus memantau perkembangan pasaran dengan teliti.
“Sehubungan itu, kumpulan memutuskan untuk menangguhkan sementara sasaran dalaman 2026 yang sebelum ini diumumkan sehingga persekitaran operasi kembali stabil,” katanya.
-- BERNAMA