BERITA TERKINI   Tinjauan pertumbuhan, inflasi 2026 oleh BNM telah ambil kira perubahan struktur subsidi bahan api -- Gabenor BNM | Hutang isi rumah Malaysia kekal stabil - Gabenor BNM | Inflasi diunjur meningkat pada 2026, purata 1.5 peratus hingga 2.5 peratus -- Gabenor BNM | Kecairan sistem perbankan terus memudah cara pengantaraan kewangan - Gabenor BNM | Ringgit kekal disokong oleh aliran masuk bukan pemastautin, asas domestik kukuh -- Gabenor BNM | 

Taman Digital AI NexQuantum Bernilai RM1 Bilion Dibangunkan Di Perak

IPOH, 15 Mei (Bernama) -- Cahya Suria Services Sdn Bhd dan Suzhou EnnoThing Technology Co Ltd, memuktamadkan kerjasama strategik menerusi NexQuantum 1 Sdn Bhd bagi memajukan Taman Digital Kecerdasan Buatan (AI) NexQuantum di Perak.

Menurut pihak terbabit, projek berkenaan menjadi platform infrastruktur digital sedia masa depan dan bertujuan menyokong aspek pengkomputeran maju serta perkhidmatan digital.

Pada masa sama, projek bernilai RM1 bilion yang juga sebagai menyokong aspirasi digital Perak, dapat mempercepat transformasi digital Malaysia selain secara progresif memenuhi keperluan ekonomi digital ASEAN dan Asia secara meluas.

Kerjasama yang dimeterai pada majlis di Ipoh malam tadi, merupakan gabungan keupayaan pembangunan projek Malaysia dengan kepakaran teknologi antarabangsa bagi mewujudkan ekosistem digital bernilai tinggi dan menumpukan infrastruktur sedia AI, perkhidmatan awan, operasi pintar, kelestarian, pembangunan bakat serta keterhubungan digital serantau.

Di bawah pelan induk berkenaan, Taman Digital AI NexQuantum diwujudkan sebagai platform infrastruktur digital jangka panjang merangkumi lapan cadangan fasiliti pusat data dan NQ1 dirancang sebagai projek utama dengan anggaran pelaburan RM1 bilion di negeri itu.

Projek itu bermatlamat menyokong permintaan digital generasi baharu, termasuk pengkomputeran AI, pengkomputeran berprestasi tinggi, infrastruktur data yang selamat, perkhidmatan awan, keselamatan siber dan aplikasi digital perusahaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cahya Suria Services Sdn Bhd dan NexQuantum 1 Sdn Bhd Ong Teng Boon berkata taman digital AI itu bukan sekadar pembangunan tempatan atau sebuah projek pusat data tunggal.

“Kami yakin ini menjadi asas kukuh bagi projek yang sedia AI, mampan dan seiring dengan transformasi ekonomi jangka panjang Perak.

“Pada masa sama, kami menyokong aspirasi Perak Sejahtera 2030 dengan membantu dari segi menarik pelaburan berkualiti tinggi, menggalakkan penyertaan vendor tempatan, menyokong pembangunan bakat selain menyumbang kepada Perak yang lebih progresif, berdaya saing dan sedia masa depan,” katanya pada majlis terbabit di sini, malam tadi.

Majlis pemeteraian itu telah disempurnakan oleh Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi Jawatankluasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

-- BERNAMA