BERITA TERKINI   Liga Super: Sabah FC 0-1 Terengganu FC | Liga Super: Penang FC 2-1 DPMM FC |  54 kapal GSF kini berada di garisan kuning dua, kira-kira 340 batu nautika dari pantai Gaza -- KP SNCC  | Kapal GSF dijangka memasuki zon berisiko tinggi malam ini, berpotensi berdepan pemintasan - KP SNCC | Pada 6 petang, ringgit turun kepada 3.9515/9580 berbanding dolar AS, daripada 3.9300/9330 ketika ditutup pada Khamis | 

Perdagangan Kekal Pemacu Utama Pembangunan - Mohamad Hasan

Daripada Mohd Khairi Idham Amran

NEW DELHI, 15 Mei (Bernama) -- Malaysia percaya bahawa perdagangan kekal sebagai pemacu utama pembangunan dan peningkatan perdagangan Selatan-Selatan perlu terus dimanfaatkan, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Usaha mesti dilakukan untuk mengintegrasikan negara-negara membangun ke dalam rantaian nilai global dan menggalakkan pertumbuhan jangka panjang yang mampan,” katanya pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Rakan Kongsi BRICS 2026 di sini hari ini.

Katanya, persekitaran global semasa, yang ditandai oleh perlindungan dan dasar perindustrian, menggariskan keperluan untuk sistem perdagangan global yang fleksibel serta adil. 

“Satu sistem yang berasaskan peraturan yang dipersetujui dan boleh dikuatkuasakan di peringkat antarabangsa, termasuk yang di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO),” katanya. 

Mohamad berkata cabaran global yang semakin meningkat telah mendedahkan kekangan sistem antarabangsa, dan menyifatkannya sebagai tidak lagi mencukupi atau mampan.

Oleh itu, beliau berkata pembaharuan segera diperlukan untuk memperkukuh sistem pelbagai hala, dan institusi global mesti menjadi lebih inklusif, saksama serta boleh dipercayai dalam mengatasi cabaran ekonomi dan geopolitik semasa. 

Beliau juga berkata pembaharuan tidak boleh dilihat sebagai mengabaikan multilateralisme tetapi sebaliknya sebagai usaha untuk memperbaikinya melalui tindakan kolektif serta kerjasama yang lebih kukuh. 

“Pembaharuan bukan mengenai membongkar apa yang kita ada atau meninggalkan multilateralisme.

“Ia adalah mengenai menjadikannya segera berfungsi dengan lebih baik dan kebijaksanaan,” katanya. 

Menurut Mohamad, Malaysia percaya bahawa pembaharuan yang bermakna mesti berpandukan kepada tiga prinsip asas iaitu keterangkuman, ekuiti dan kepercayaan. 

Mengulas lanjut, beliau berkata keterangkuman bermakna setiap negara mesti mempunyai hak yang sama di meja rundingan, ekuiti bermaksud manfaat globalisasi mesti dikongsi dengan lebih adil, dan kepercayaan merujuk kepada penghormatan terhadap peraturan serta pengesahan komitmen. 

Katanya, tanpa semua prinsip tersebut, tiada sistem antarabangsa yang mampu mengekalkan keabsahan. 

Bagaimanapun, Mohamad berkata beliau yakin bahawa perubahan bermakna boleh dicapai menerusi kejelasan tujuan dan keazaman politik, walaupun bakal berdepan cabaran. 

“Walaupun jalan di hadapan sukar, perubahan boleh direalisasikan, terutamanya apabila terdapat tujuan yang jelas dan kesediaan untuk bertindak.

“Di sinilah BRICS boleh memberi satu kelainan, bukan sebagai alternatif, tetapi sebagai pemangkin untuk pembaharuan yang bermakna,” katanya. 

Beliau berkata Malaysia sedia bekerjasama rapat dengan semua rakan kongsi, terutamanya melalui platform BRICS untuk mengukuhkan daya tahan dan kemampanan sistem pelbagai hala yang memberi manfaat kepada semua negara. 

Mesyuarat itu menghimpunkan menteri-menteri dan wakil dari negara anggota BRICS serta rakan kongsi untuk membincangkan perkembangan geopolitik global, kerjasama ekonomi dan isu melibatkan negara-negara di Selatan Global. 

-- BERNAMA