PIVB Kekalkan Unjuran Pertumbuhan KDNK 2026 Pada 4.6 Peratus, Dipacu Permintaan Domestik
KUALA LUMPUR, 18 May (Bernama) -- Public Investment Bank Bhd (PIVB) mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026 pada 4.6 peratus tahun ke tahun (y-o-y), dengan permintaan domestik kekal menjadi tunjang kepada pengembangan itu.
Bank pelaburan itu memaklumkan prestasi suku pertama 2026 kekal konsisten dengan pandangannya, walaupun momentum jelas kelihatan kembali normal, dengan KDNK menyederhana kepada 5.4 peratus tahun ke tahun daripada 6.2 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2025 dan secara amnya mendatar berdasarkan asas suku ke suku yang dilaraskan mengikut musim.
“Ini belum lagi menandakan gangguan kepada kitaran pertumbuhan, namun penampan terhadap kejutan luaran semakin menipis,” menurutnya dalam satu nota penyelidikan.
Jumaat lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 5.4 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2026, dengan komponen pertumbuhan asas kekal positif dan dipacu oleh permintaan domestik.
Sehubungan itu, bank pusat mengunjurkan pertumbuhan Malaysia pada kadar 4.0 peratus hingga 5.0 peratus tahun ke tahun bagi 2026, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan pengembangan eksport yang berterusan, walaupun tinjauan masa hadapan semakin terdedah kepada ketidaktentuan luaran.
Selain itu, PIVB memaklumkan risiko utama telah beralih daripada harga minyak kepada kesinambungan bekalan. Konflik Asia Barat semakin menjadi satu kejutan kepada kos input dan rantaian bekalan dengan tekanan yang kian meningkat merentasi sektor bahan api, baja, petrokimia, logistik dan bahan berasaskan petroleum yang lain.
Ia menyatakan penasihat ekonomi Perdana Menteri telah memberi amaran bahawa Jun boleh menjadi titik di mana masalah kekurangan bekalan menjadi lebih ketara apabila syarikat-syarikat mula kehabisan inventori, sekali gus meningkatkan risiko pengurangan kerja lebih masa, pemotongan syif dan gangguan pengeluaran.
“Kami masih melihat adanya faktor pengimbang yang mencukupi untuk mengekalkan unjuran kami tanpa sebarang perubahan. Perbelanjaan isi rumah terus disokong oleh kadar pengangguran yang rendah, pertumbuhan gaji dan langkah-langkah dasar yang bersasar.
"Aktiviti pelaburan terus mendapat manfaat daripada pelaksanaan rekod pelaburan yang diluluskan, perbelanjaan modal (capex) berkaitan pusat data, pengembangan sektor elektrik dan elektronik (E&E), momentum Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan pelaksanaan projek-projek awam," tambahnya.
Kitaran semikonduktor yang dipacu oleh AI turut menyediakan penampan luaran terpilih melalui pengeluaran E&E, permintaan jentera dan perkhidmatan berkaitan ICT. Bagaimanapun, faktor-faktor sokongan itu adalah bersandarkan kepada kekangan bekalan yang tidak berlanjutan secara ketara melangkaui tahap penimbal inventori syarikat.
Sementara itu, bank pelaburan tersebut turut mengekalkan unjuran Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus sepanjang 2026 dengan menyatakan sebarang perubahan kadar akan memerlukan bukti yang lebih kukuh bahawa pemindahan kos menjadi lebih meluas, lebih berterusan dan semakin sukar untuk diserap oleh syarikat.
Buat masa ini, risiko inflasi telah meningkat, namun keadaan permintaan tidak melampau dan tekanan harga kekal tidak sekata.
“Sehubungan itu, BNM berkemungkinan besar mengekalkan kadar sedia ada dan pilihan yang ada,” tambahnya.
-- BERNAMA