Untung Bersih Suku Pertama Sunway Construction Naik 56 Peratus Kepada RM118.41 Juta

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih Sunway Construction Group Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 meningkat 56 peratus kepada RM118.41 juta berbanding RM75.71 juta dalam tempoh sama tahun lepas berikutan sumbangan yang lebih tinggi daripada keseluruhan segmen operasi.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, menurutnya perolehan bagaimanapun menyusut kepada RM1.02 bilion daripada RM1.40 bilion sebelum ini.

Kumpulan itu mengumumkan jumlah dividen sebanyak 22.8 sen sesaham pada suku semasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2026, yang terdiri daripada dividen interim pertama satu peringkat sebanyak 7.60 sen sesaham dan dividen khas 15.2 sen sesaham.

Pengarah Urusannya Liew Kok Wing berkata nilai perolehan kontrak belum selesai kumpulan itu yang kukuh dan penambahan dalam nilai perolehan kontrak yang memberangsangkan, terus memberikan gambaran yang jelas mengenai trajektori pertumbuhan pendapatan kumpulan itu.

"Pada suku pertama 2026, kumpulan itu menerima tempahan baharu bernilai RM3.59 bilion, mencapai lebih 50 peratus daripada sasaran penambahan nilai perolehan kontrak 2026," katanya dalam kenyataan berasingan.

Mengenai prospek, beliau berkata kumpulan itu terus mengukuhkan kedudukan dalam sektor pertumbuhan utama Malaysia, terutama segmen kemudahan teknologi canggih (ATF) dan pada masa sama mengekalkan profil nilai perolehan kontrak pembinaan yang pelbagai meliputi pelbagai sektor, termasuk projek Sunway Group.

Beliau berkata dalam segmen ATF, kumpulan itu mendapat tiga projek baharu bagi pusat data dan mendapatkan pelanggan baharu dari luar negara iaitu operator pusat data berskala besar pada suku pertama 2026, sekali gus mengukuhkan lagi asas pelanggan teknologi multinasionalnya.

"Sunway Construction telah menyediakan lebih 180 megawatt kapasiti pusat data setakat ini dan pada masa ini sedang menguruskan 10 projek yang sedang dijalankan untuk pelanggan teknologi global," kata Liew.

Beliau berkata kumpulan itu kekal berhati-hati tetapi optimis untuk tempoh yang masih berbaki tahun ini, disokong oleh nilai perolehan kontrak belum selesai yang kukuh dan pelbagai bernilai RM8.157 bilion.

Syarikat juga kekal berwaspada terhadap persekitaran perkembangan geopolitik yang sentiasa berubah dan kesan limpahan daripada kenaikan kos dan gangguan rantaian bekalan.

-- BERNAMA