Ringgit Dibuka Tinggi Sedikit Berbanding Dolar AS Susulan Perkembangan Di Asia Barat
Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS pada Selasa berikutan sentimen pasaran terus tertumpu kepada perkembangan di Asia Barat.
Pada 8 pagi, unit tempatan meningkat kepada 3.9705/9760 berbanding dolar AS daripada 3.9720/9770 semasa ditutup pada Isnin.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sentimen pasaran terus tertumpu kepada situasi di Asia Barat berikutan Amerika Syarikat (AS) dan Iran meneruskan rundingan bagi mencari penyelesaian, yang sebahagian besarnya masih sukar dicapai.
“Perkembangan terkini menunjukkan bahawa Presiden AS Donald Trump telah membatalkan rancangan untuk menyerang Iran memandangkan rundingan serius dengan Tehran sedang berlangsung,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata walaupun rundingan antara AS dan Iran masih dilaksanakan, kenaikan harga minyak mentah menunjukkan bahawa kebimbangan mengenai ketegangan geopolitik yang semakin meningkat masih berterusan.
“Bagaimanapun, harga minyak mentah West Texas Intermediate dan Brent masing-masing meningkat sebanyak 3.07 peratus dan 2.60 peratus kepada US$108.66 setong dan US$112.10 setong.
"Sementara itu, indeks dolar AS (DXY) menyusut 0.34 peratus kepada 98.947 mata," katanya.
Sehubungan itu, Mohd Afzanizam berkata ringgit dijangka diniagakan dalam julat kecil 3.96 hingga 3.97 berbanding dolar AS hari ini.
Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan itu susut berbanding pound Britain kepada 5.3336/3410 daripada 5.3078/3145 semasa ditutup pada Isnin, rendah berbanding euro kepada 4.6276/6340 daripada 4.6214/6272 sebelumnya dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 2.4992/5028 daripada 2.4991/5024.
Ringgit juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang serantau.
Mata wang tempatan susut berbanding baht Thailand kepada 12.2053/2305 daripada 12.1646/1848 dan berkurangan berbanding dolar Singapura kepada 3.1056/1104 daripada 3.1036/1078 sebelumnya.
Bagaimanapun, mata wang tempatan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 224.7/225.1 daripada 224.8/225.1 sebelumnya.
Ringgit hampir tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 6.43/6.44 daripada 6.43/6.45 sebelumnya.
-- BERNAMA