BERITA TERKINI   JIM akan mula mengeluarkan Pasport Malaysia Antarabangsa versi baharu dilengkapi 94 ciri keselamatan pada 1 Jun - KP Imigresen | Jumlah pendapatan pelaburan KWSP meningkat 51 peratus kepada RM27.73 bilion pada suku pertama 2026 daripada RM18.31 bilion sebelum ini | 15 kapal melibatkan 25 rakyat Malaysia dipintas dan ditahan tentera laut rejim Zionis Israel (IOF) setakat ini - KP SNCC | 10 kapal dijangka tiba berhampiran pantai Gaza dalam tempoh kira-kira sembilan jam jika tidak berdepan gangguan - KP SNCC | 10 kapal kini dalam pelayaran di Zon Merah 2, kira-kira 100 batu nautika dari pantai Gaza - KP SNCC | 

Ledakan Capex AI Berpotensi Dorong Pertumbuhan Ekonomi Malaysia - BMI

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Ledakan perbelanjaan modal (capex) di peringkat global yang berterusan, dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) berpotensi mengukuhkan kedudukan perdagangan Malaysia dan menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi berbanding jangkaan, menurut firma penyelidikan BMI.

Menurut BMI, pelaburan berterusan dalam infrastruktur dan teknologi berkaitan AI boleh memberikan  prospek pertumbuhan Malaysia yang lebih tinggi pada 2026, terutama melalui peningkatan eksport dan aktiviti pelaburan berkaitan sektor elektrik dan elektronik (E&E).

"Ledakan capex AI yang berterusan boleh mengukuhkan kedudukan perdagangan Malaysia manakala pelaksanaan projek pelaburan awam dan swasta yang lebih cepat berbanding jangkaan boleh mendorong pertumbuhan yang lebih tinggi," menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

BMI memaklumkan, walaupun momentum pertumbuhan dijangka sederhana selepas suku pertama 2026 berikutan risiko berkaitan konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran yang berterusan, firma itu mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar 2026 tidak berubah pada 4.3 peratus.

Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.4 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2026, lebih rendah daripada 6.2 peratus pada suku keempat 2025.

BMI sebaliknya memaklumkan, ketidaktentuan yang meningkat akibat konflik AS-Iran boleh menjejaskan faktor yang menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku pertama 2026 seperti kesan yang dilihat semasa pandemik COVID-19.

Firma itu turut menekankan mengenai aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang lebih perlahan pada suku pertama 2026, dengan pelaburan langsung menyusut kepada RM14.7 bilion daripada RM46.0 bilion pada suku keempat 2025.

"Walaupun kesan konflik AS-Iran yang berterusan dijangka lebih jelas dalam bacaan suku kedua akan datang, kami yakin pendirian Rizab Persekutuan AS yang lebih agresif akan menjejaskan aktiviti pelaburan dengan menggalakkan pelabur untuk mengambil pendekatan lebih berwaspada dan menangguhkan keputusan pelaburan," menurut BMI.

-- BERNAMA