BERITA TERKINI   PM Anwar ucap tahniah kepada pasukan negara atas kejayaan muncul juara acara kuadran Piala Dunia Sepak Takraw 2026 | 

Megah Port, CILTM Sabah Anjur Sesi Libat Urus Tangani Isu Logistik Labuan

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 19 Mei (Bernama) -- Megah Port Management Sdn Bhd serta Institut Logistik dan Pengangkutan Bertauliah Malaysia (CILTM) Sabah baru-baru ini bersama-sama menganjurkan sesi libat urus untuk membincangkan isu operasi berkaitan pelesenan, permit dan pematuhan peraturan.

Pengarah Urusan Megah Port, Datuk Seri Patrick Tiong berkata sesi yang diadakan dengan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu menyediakan platform praktikal untuk peserta industri menyuarakan kebimbangan secara langsung kepada agensi berkaitan.

Beliau berkata usaha itu khususnya mengenai perkara yang menjejaskan operasi kenderaan perdagangan, logistik pelabuhan dan pergerakan kargo.

“Perkhidmatan logistik dan pengangkutan yang cekap penting untuk memastikan pergerakan kargo keluar dan masuk dari Labuan kekal lancar, berdaya saing dan mematuhi peraturan sedia ada.

“Sesi libat urus ini membolehkan peserta industri mendapat panduan lebih jelas daripada LPKP dan JPJ, di samping membolehkan agensi lebih memahami cabaran yang dihadapi di lapangan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata sektor logistik berperanan penting dalam menyokong operasi pelabuhan Labuan, aktiviti minyak dan gas, rantaian bekalan pengguna serta keseluruhan ekosistem ekonomi.

Tiong berkata beberapa isu berkaitan pelesenan kenderaan perdagangan, permohonan permit, pematuhan pengangkutan jalan, penggunaan treler dan keperluan operasi dibangkitkan semasa sesi itu yang dihadiri lebih 20 wakil syarikat logistik dan pengangkutan.

Beliau berkata peserta industri turut menyuarakan keperluan supaya LPKP mewujudkan cawangan atau kaunter perkhidmatan di Labuan bagi memudahkan urusan pelesenan dan permit memandangkan agensi itu kini berpangkalan di Kota Kinabalu.

Operasi LPKP di Labuan akan membantu mengurangkan kelewatan, meningkatkan akses kepada pengusaha pengangkutan serta menyediakan panduan lebih pantas mengenai permohonan, pembaharuan dan hal pematuhan melibatkan kenderaan perdagangan, katanya.

“Labuan mempunyai keperluan logistik tersendiri disebabkan statusnya sebagai pulau, operasi pelabuhan dan peranan yang semakin berkembang sebagai pangkalan sokongan minyak dan gas.

“Kehadiran LPKP di peringkat tempatan akan banyak membantu peserta industri dan memastikan urusan berkaitan peraturan dapat dikendalikan dengan lebih cekap,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah LPKP, Boney Joumil berkata cadangan untuk mewujudkan cawangan atau kaunter perkhidmatan LPKP di Labuan akan dibawa kepada pihak atasan untuk pertimbangan dan keputusan.

Presiden CILTM Sabah, Daniel Doughty pula berkata pihaknya akan mengemukakan surat rasmi kepada LPKP dan JPJ mengenai perkara dasar yang dibangkitkan semasa sesi libat urus itu bagi pertimbangan agensi.

Beliau berkata hal itu termasuk aspek yang mungkin memerlukan semakan atau pindaan supaya lebih mencerminkan keperluan operasi di Labuan.

Beliau berkata cadangan itu akan membantu memastikan maklum balas daripada industri direkodkan dengan baik dan disalurkan melalui proses yang sewajarnya.

“CILTM Sabah akan terus melaksanakan peranan sebagai penghubung antara peserta industri dan agensi kerajaan dalam menyokong operasi logistik yang praktikal, selamat dan cekap,” katanya.

-- BERNAMA