BERITA TERKINI   GSF 2.0: Usaha diplomatik sedang digerakkan dengan negara serantau dan Turkiye untuk pembebasan aktivis - KP SNCC | Semua aktivis GSF 2.0 diculik dari kapal masing-masing bawah ancaman senjata - KP SNCC | GSF 2.0: Kesemua 50 buah kapal bawa 428 aktivis dari 40 negara dipintas secara haram oleh rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa - KP SNCC | Eksport naik 36.9 peratus tahun ke tahun kepada RM182.74 bilion pada April 2026, import meningkat 20 peratus kepada RM153.99 bilion, menjana lebihan dagangan RM28.75 bilion - MATRADEĀ  | Perdagangan Malaysia meningkat 28.6 peratus tahun ke tahun pada April 2026, pertumbuhan paling pesat sejak September 2022, mencecah RM336.73 bilion - MATRADE | 

Bursa Malaysia Dibuka Rendah Jejaki Prestasi Lemah Wall Street

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini, menjejaki prestasi lemah Wall Street semalaman apabila hasil bon melonjak susulan kebimbangan bahawa data inflasi yang tinggi baru-baru ini boleh mendorong Rizab Persekutuan menaikkan kadar faedah.

Pada 9.15 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI susut 8.04 mata kepada 1,719.23 daripada paras 1,727.27 ketika ditutup semalam. Indeks berkenaan dibuka 0.33 mata lebih rendah pada 1,726.94.

Pasaran secara menyeluruh menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 367 berbanding 113, manakala 317 kaunter tidak berubah, 1,920 tidak diniagakan dan 15 digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 373.73 juta saham bernilai RM457.91 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata hasil bon yang tinggi serta data inflasi yang meningkat telah menimbulkan kebimbangan bahawa Rizab Persekutuan mungkin terpaksa menaikkan kadar faedah, selain pelabur turut memantau hala tuju dasar di bawah pengerusi baharu Kevin Warsh.

“Hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) 10 tahun mencecah paras tertinggi satu tahun pada 4.667 peratus.

“Selepas FBM KLCI ditutup sedikit rendah semalam, sentimen pasaran kekal berhati-hati dengan pelabur asing mula mengambil keuntungan. Kami berpendapat indeks mungkin terus berlegar dalam fasa mendatar. Justeru, dijangka berada dalam julat 1,720 hingga 1,735 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM11.04, CIMB turun tiga sen kepada RM7.81, Tenaga Nasional merosot dua sen kepada RM14.50, manakala Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM4.79 dan RM9.

Dalam kaunter aktif, pendatang baharu Pasaran Utama SkyeChip Bhd melonjak RM1.74 kepada RM2.62, Capital A dan Oppstar masing-masing naik 1.5 sen kepada 45.5 sen dan 84 sen. Toyo Ventures meningkat 3.5 sen kepada 30 sen, manakala PUC mendatar pada dua sen.

Antara kaunter untung utama, Dutch Lady Milk Industries melonjak 20 sen kepada RM33.20, Sunway Construction meningkat 11 sen kepada RM7.41, Apollo Food naik lapan sen kepada RM5.98, manakala Atlan dan Analabs Resources masing-masing bertambah lima sen kepada RM2.70 dan RM1.75.

Dalam kalangan kaunter rugi utama, Nestle susut RM1.14 kepada RM93.90, Petronas Gas merosot 36 sen kepada RM17.36, Petronas Dagangan turun 32 sen kepada RM18.88, Malaysian Pacific Industries turun 30 sen kepada RM42.90, dan United Plantations berkurang 22 sen kepada RM30.10.

Pada papan indeks, Indeks FBM Emas susut 62.22 mata kepada 12,741.48, Indeks FBM Top 100 turun 60.09 mata kepada 12,579.99, Indeks FBM Emas Shariah berkurang 74.99 mata kepada 12,660.17, Indeks FBM ACE susut 21.06 mata kepada 4,685.53 dan Indeks FBM Mid 70 turun 92.53 mata kepada 18,283.39.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 47.58 mata kepada 20,035.48, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.10 mata kepada 197.77, Indeks Tenaga susut 8.63 mata kepada 794.42 dan Indeks Perladangan turun 27.45 mata kepada 8,593.49.

-- BERNAMA