Emas Kekal Relevan Sebagai Lindung Nilai Walaupun Korelasi Dengan Mata Wang Semakin Lemah
Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Logam berharga seperti emas dan perak tetap memainkan peranan penting sebagai salah satu instrumen strategi pelaburan dalam lindung nilai ekonomi yang tidak menentu meskipun korelasi songsang antara mata wang dan pergerakan emas telah berubah terutamanya dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Prof Datuk Dr Aznan Hasan berkata pegangan emas tetap perlu dan memainkan peranan menstabilkan situasi terutamanya apabila mata wang turun naik dengan terlalu cepat mahupun berdepan inflasi yang terlalu tinggi.
“Dengan money inflation dan sebagainya, ia menyebabkan duit itu hilang harga tetapi tidak dengan emas. Dalam erti kata, bila mana inflasi itu berlaku, nilai emas akan meningkat bersama-sama dengannya (inflasi).
“Jadi kita lindungi tahap kewangan kita,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menghadiri Persidangan Pelaburan Islam 2026 semalam.
Persidangan bertemakan “Menjana Kekayaan Berlandaskan Syariah: Potensi Emas dan Perak dalam Ekonomi Semasa” dianjurkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia dengan kerjasama Bursa Malaysia.
Hubungan songsang Emas dan mata wang tidak lagi mutlak
“Dahulu, hubungan antara emas dan mata wang dilihat lebih jelas dan hampir seimbang secara songsang. Setiap kali nilai mata wang jatuh, harga emas akan naik, dan apabila harga emas jatuh, nilai mata wang pula akan mengukuh.
“Namun dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, hubungan tersebut tidak lagi berlaku secara 100 peratus. Namun ia masih wujud dan masih berlaku secara semula jadi kerana apabila mata wang melemah, pelabur lazimnya akan beralih kepada instrumen lain seperti emas,” katanya.
Selain itu, Aznan berkata keseimbangan yang dahulunya dilihat begitu konsisten dan hampir sempurna kini mula menunjukkan sedikit ketidakseimbangan.
“Dalam erti kata lain, kenaikan nilai mata wang tidak semestinya menyebabkan harga emas turun sepenuhnya, dan begitu juga sebaliknya.
“Korelasi songsang antara kedua-duanya kini tidak lagi boleh dijadikan sandaran mutlak seperti dahulu,” katanya lagi.
Beliau menekankan bahawa walaupun pelabur mahu memasukkan emas dalam portfolio pelaburan, mereka tetap perlu memahami trend pasaran serta permintaan terhadap emas supaya tidak terperangkap dengan andaian bahawa wujud keseimbangan mutlak antara emas dan mata wang.
Emas bukan instrumen HQLA
Menjelaskan mengenai peranan logam berharga dalam sistem monetari dan perbankan, Aznan berkata emas bukanlah dikategorikan sebagai salah satu instrumen dalam high quality liquid asset (HQLA) di bawah Standard Basel III dan ia tidak banyak membantu dari segi kawalan liquidity coverage ratio (LCR) dan juga net stable funding ratio (NSFR).
“Sebab itu, bagi bank-bank termasuk bank Islam, pegangan emas atau holding emas tidak semestinya memberi kelebihan,” kata beliau lagi.
“Dalam bahasa perbankan, ia tidak banyak membantu dari segi kawalan liquidity coverage ratio (LCR) dan juga net stable funding ratio (NSFR),” kata beliau lagi
Permintaan emas oleh bank pusat global meningkat
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata meskipun emas tidak lagi merupakan komponen penting dalam sistem kewangan global selepas kejatuhan sistem Bretton Woods pada tahun 1971, namun permintaan daripada bank pusat global dilihat kian meningkat pesat.
Menurut data dikeluarkan World Gold Council, bank-bank pusat terus mengekalkan pegangan emas setakat Februari tahun ini dengan pembelian bersih sebanyak 27 tan.
Jumlah ini merupakan peningkatan semula daripada keadaan perlahan dicatatkan pada Januari dan selaras dengan purata bulanan sebanyak 26 tan direkodkan pada 2025.
Setakat Februari 2026, bank-bank pusat telah membeli sebanyak 31 tan emas, bagaimanapun pada kadar lebih perlahan berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 50 tan.
Persatuan perdagangan antarabangsa bagi industri emas itu juga melaporkan bahawa Bank Negara Malaysia juga meneruskan pembelian emas secara berterusan pada Februari dengan tambahan sebanyak dua tan sepanjang Februari.
Selain itu, People’s Bank of China meneruskan pembelian emas bagi bulan ke-16 berturut-turut, menyaksikan rizab emasnya meningkat kepada 2,308 tan atau 10 peratus daripada jumlah keseluruhan rizabnya.
Penyahan dolar AS dan geopolitik ubah landskap kewangan
“Walaupun sistem perbankan sedia ada berdasarkan Fractional Reserve Banking bermaksud semua institusi perbankan diwajibkan menyimpan sebahagian daripada deposit mereka dengan bank pusat dan deposit ini rata-ratanya berbentuk tunai dan komponen emas tidak wujud dalam sistem ini.
“Tetapi disebabkan oleh dunia kewangan semakin berubah terutamanya dari segi geopolitik dan perkaitannya dengan mata wang dolar,” jelas Mohd Afzanizam lagi.
Beliau berkata fenomena penyahan dolar AS dilihat sedang berlaku yang mana peratusan dolar AS di dalam rizab bank pusat global telah pun menurun.
Penyahan dolar Amerika Syarikat (AS) merujuk kepada proses atau tindakan sesebuah negara (atau sekumpulan negara) untuk mengurangkan kebergantungan kepada mata wang dolar AS dalam urusan perdagangan antarabangsa, rizab bank pusat, atau pelaburan mereka.
Berdasarkan data daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), peratusan dolar AS kepada rizab bank pusat global telah merosot kepada 56.8 peratus pada suku keempat 2025 daripada 71.2 peratus pada suku pertama 1999.
“Situasi ini dilihat seiring dengan peningkatan pegangan emas oleh bank pusat dunia. Sekali gus, perkara ini menunjukkan bahawa emas sebagai simbol kestabilan dan nilai yang tinggi telah menjadikan ia sebagai suatu kelas aset yang semakin mendapat tempat dalam dunia pelaburan.
“Perkara ini juga ditunjukkan dalam pertumbuhan permintaan pelaburan emas yang meningkat sebanyak 1.9 peratus, kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) bagi tempoh 15 tahun terutamanya pertumbuhan pelaburan dana dagangan bursa (ETF) yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.6 peratus (CAGR 15 tahun).
Emas berpotensi diintegrasikan dalam sistem kewangan dan pembayaran
Beliau turut menjelaskan bahawa faktor geopolitik seperti dasar AS yang semakin meminggirkan komuniti global telah melemahkan institusi dan ekonomi global.
“Justeru, dunia yang bersifat multipolar akan mengubah landskap ekonomi global termasuk sistem kewangan seperti mata wang. Selain itu, perkembangan teknologi seperti blockchain (lejar digital terbuka) telah menyaksikan penggunaan teknologi stablecoin yang dilihat berpotensi mengubah industri pembayaran.
“Di sini emas dan mungkin juga komoditi berharga yang lain seperti perak, platinum, palladium dan sebagainya berpotensi diintegrasikan dengan sistem kewangan dan pembayaran,” kata Mohd Afzanizam.
Contoh terbaik adalah industri Ar-Rahnu, dilihat platform utama bagi sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk mendapatkan akses pembiayaan terutama pembiayaan modal pusingan, diisebabkan industri Ar-Rahnu semakin berkembang maka terdapat keperluan untuk memastikan bekalan emas sentiasa mencukupi, katanya.
Menurutnya, situasi berkenaan menuntut strategi tuntas bagi pembangunan industri aktiviti huluan seperti perlombongan emas dan aktiviti pertengahan (midstream) seperti pemprosesan emas mentah dan aktiviti hiliran seperti Ar-Rahnu dan barang kemas.
-- BERNAMA