Hektar REIT Cadang Ambil Alih Kepentingan Pajakan, Sekolah Antarabangsa Pada RM125 Juta

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) bercadang untuk mengambil alih kepentingan pajakan bagi tanah seluas 2.43 hektar di Setapak, di sini serta sebuah sekolah swasta dikenali sebagai KYS KL East International School (KYSKLEIS) yang terletak di atas tanah tersebut, pada RM125 juta.

MTrustee Bhd, yang bertindak bagi pihak Hektar REIT, telah menandatangani perjanjian bersyarat dengan KYS College Sdn Bhd (KCSB) bagi cadangan itu.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, pengambilalihan itu akan diselesaikan melalui pembayaran tunai sebanyak RM106.55 juta serta penerbitan unit dalam Hektar REIT kepada vendor.

Hektar REIT menjelaskan KCSB mempunyai pajakan tanah selama 30 tahun bermula 1 Mac, 2016 dan berakhir pada 28 Feb, 2046 berdasarkan perjanjian pajakan induk (MLA) yang dimeterai antara syarikat itu dan Sime Darby Property (KL East) Sdn Bhd selaku pemberi pajakan.

Cadangan pengambilalihan dan pajakan itu tertakluk antaranya kepada lanjutan tempoh pajakan MLA kepada 99 tahun menerusi MLA tambahan yang akan dimeterai dengan pemberi pajakan, serta penyiapan sebuah bangunan sekolah menengah oleh KCSB dalam tempoh masa yang ditetapkan, menurutnya.

Ketika ini, terdapat sebuah bangunan prasekolah dan bangunan sekolah rendah di atas tanah seluas 2.43 hektar itu, yang merupakan sebahagian daripada tanah pegangan bebas seluas 3.84 hektar milik Sime Darby Property (KL East).

Hektar REIT memaklumkan pihaknya kemudian akan memberikan subpajakan tanah dan bangunan tersebut kepada KCSB untuk terus mengendalikan KYSKLEIS.

“Cadangan pengambilalihan dan pajakan itu melibatkan perjanjian jual dan pajak semula KYSKLEIS yang akan disokong oleh perjanjian pajakan jangka masa panjang sehingga 99 tahun, yang akan memberikan pendapatan sewaan tetap dan terjamin secara kontrak kepada Hektar REIT daripada subpemajak,” menurutnya.

Hektar REIT menjelaskan tanpa mengambil kira sebarang keadaan luar jangka, cadangan pengambilalihan dan pajakan itu dijangka selesai pada suku pertama 2027.

UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd telah dilantik sebagai penasihat utama bagi cadangan pengambilalihan dan pajakan tersebut.

-- BERNAMA