BERITA TERKINI   PM Anwar tiba di Ashgabat pada 8 malam (11 malam waktu Malaysia) untuk lawatan rasmi dua hari ke Turkmenistan | Kerajaan Persekutuan luluskan penubuhan Majlis Tahfiz Negara - TPM Ahmad Zahid | PRN Johor: Chu Poh Yee calon DAP bagi kerusi DUN Mengkibol menggantikan penyandang Chew Chong Sin - Loke | Bekalan minyak: draf perjanjian dan prinsip kerjasama telah dipersetujui, hanya menunggu proses pemuktamadan & pemeteraian selepas lawatan teknikal terperinci - PM Anwar | Rusia beri jaminan bekalan minyak dan gas kepada Malaysia untuk jangka masa panjang - PM Anwar | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Disokong Kenaikan Harga Minyak Mentah

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Selasa, disokong oleh kenaikan ketara harga minyak mentah dan prospek pengeluaran minyak sawit Malaysia yang lebih lemah, kata seorang peniaga.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata kontrak niaga hadapan minyak mentah diniagakan lebih tinggi pada pagi Selasa susulan laporan mengenai serangan tentera Amerika Syarikat ke atas sasarannya di selatan Iran.

“Sementara itu, pengeluaran minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1 hingga 20 Mei yang dianggarkan oleh Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) menyusut sebanyak 5.85 peratus berbanding tempoh yang sama bulan lepas,” katanya kepada Bernama.

Anilkumar menambah eksport Mei yang berterusan lemah, kemerosotan niaga hadapan minyak kacang soya Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) serta kenaikan premium minyak sawit berbanding minyak gas mengehadkan momentum peningkatan minyak sawit.

“Eksport minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1 hingga 25 Mei dianggarkan oleh Intertek Testing Services sebanyak 1.02 juta tan, menyusut 14.51 peratus manakala AmSpec menganggarkannya sebanyak 947,430 tan, turun 18.03 peratus berbanding anggaran eksport masing-masing bagi tempoh 1 hingga 25 April,” katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak Jun 2026 melonjak RM19 kepada RM4,429 setiap tan, kontrak Julai 2026 meningkat RM20 kepada RM4,466 setiap tan dan kontrak Ogos 2026 naik RM23 kepada RM4,496 setiap tan.

Kontrak September 2026 meningkat RM29 kepada RM4,522 setiap tan, kontrak Oktober 2026 berkembang RM36 kepada RM4,553 setiap tan dan kontrak November 2026 ditutup RM37 lebih tinggi pada RM4,581 setiap tan.

Jumlah dagangan menokok sedikit kepada 63,916 lot daripada 57,304 lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka mengukuh kepada 284,109 kontrak daripada 282,395 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk Jun Selatan meningkat sedikit iaitu sebanyak RM20 kepada RM4,470 setiap tan.

Bursa Malaysia dan anak-anak syarikatnya akan ditutup pada 27 Mei sempena cuti umum Hari Raya Aidiladha.

-- BERNAMA