Bakat Kulinari Malaysia Berpotensi Jadi Aset Tarikan Global Seterusnya
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Ramai yang tidak menyedari bahawa warisan makanan Malaysia yang terdiri daripada pelbagai budaya mempunyai nilai strategik yang besar.
Selain kempen pelancongan dan festival makanan, pakar kulinari veteran Chef Rossham Rosli percaya ekosistem gastronomi negara yang pelbagai, dibentuk oleh pengaruh Melayu, Cina, India, Nyonya dan serantau, berpotensi menjadi instrumen yang lebih utuh untuk diplomasi, promosi pelancongan dan pembangunan bakat.
Beliau yang merupakan Ketua Kulinari di Berjaya Times Square Hotel di sini percaya Malaysia mempunyai kelebihan yang sukar ditandingi, iaitu kepelbagaian.
“Malaysia mungkin sebuah negara kecil tetapi apabila mereka mengambil kira kemahiran, mereka melihat Malaysia,” katanya kepada Bernama dan berdasarkan pengalamannya selama bertahun-tahun mewakili Malaysia di platform kulinari antarabangsa.
Baru-baru ini, Rossham melatih wakil Malaysia untuk pertandingan Young Chef International (YCI) yang diadakan bersempena dengan Forum Ekonomi Antarabangsa ke-17 ‘Russia-Islamic World: KazanForum 2026’ di Rusia, pada masa yang sama sebagai juri antarabangsa.
Beliau berkata Malaysia diiktiraf di bawah kategori tradisi kulinari.
Bagaimanapun, Rossham berpendapat penyertaan dalam pertandingan kulinari antarabangsa tidak seharusnya hanya tertumpu pada pingat semata-mata.
“Makanan menyatukan manusia. Daripada pertukaran budaya dan promosi pelancongan kepada diplomatik dan jaringan antarabangsa, makanan kini berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan rakyat dan negara,” katanya.
Membangunkan bakat muda
Bagi Rossham, yang juga Presiden Persatuan Gastronomi Malaysia, memperkukuh kedudukan kulinari Malaysia pada peringkat antarabangsa bermula dengan membangunkan bakat muda lebih awal.
“Malaysia mempunyai asas kulinari yang kukuh melalui saluran vokasional, pendedahan industri hotel dan asas makanan pelbagai budaya.
“Namun, masih terdapat jurang,” katanya.
Terdapat peluang pada peringkat global tetapi kekangan dari segi pembiayaan, cabaran mendapatkan penajaan dan keterbatasan platform penyertaan mengehadkan pendedahan kepada pertandingan kulinari antarabangsa.
“Kadangkala kita terlepas peluang (untuk bersaing pada peringkat antarabangsa). Negara seperti Thailand telah membangunkan ekosistem kulinari yang lebih kukuh,” katanya.
Sebuah akademi gastronomi yang memberi tumpuan kepada bimbingan, pendedahan praktikal dan pembangunan bakat antara cadangan untuk memperkukuh ekosistem tersebut.
Katanya Malaysia tidak seharusnya memandang rendah nilai ekonomi dan strategik gastronomi yang lebih luas memandangkan sektor itu mempunyai kaitan rapat dengan pertumbuhan pelancongan, pemeliharaan warisan, pengembangan ekosistem halal, promosi budaya dan penjenamaan negara.
“Identiti kulinari Malaysia telah bertahan merentasi generasi, dibentuk oleh warisan, pengaruh pelbagai budaya serta tradisi yang diwarisi dari semasa ke semasa.
“Cabaran seterusnya adalah terletak pada usaha memastikan ia berkembang menjadi aset strategik yang lebih kukuh dan mampu mewujudkan nilai yang lebih luas.
“Jika dimajukan secara berterusan, kelebihan Malaysia pada peringkat antarabangsa yang seterusnya mungkin bukan daripada kilang atau bilik mesyuarat, tetapi dapur,” katanya.
-- BERNAMA