Keuntungan Bersih Suku Pertama Takaful Malaysia Meningkat Kepada RM100.97 Juta
KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd mencatat keuntungan bersih lebih tinggi mencecah RM100.97 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2026 (TK2026) berakhir pada 31 Mac, 2026 daripada RM94.53 juta bagi tempoh sama 2025, didorong oleh peningkatan prestasi perkhidmatan takaful.
Perolehan hasil bagi suku itu susut 0.4 peratus kepada RM976.96 juta berbanding RM980.61 juta tahun lepas, menurut pengendali takaful itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.
“Kumpulan mencatat hasil RM977.0 juta bagi suku pertama berbanding RM980.61 juta dalam tempoh sama 2025,” menurutnya.
Hasil itu merangkumi pelepasan jangka pendek sebanyak RM533.1 juta, amaun pelepasan yang dikenakan bagi perlindungan takaful sebanyak RM368.4 juta serta pelepasan margin perkhidmatan kontrak (CSM) sebanyak RM72.0 juta.
Menurutnya, segmen takaful am mencatat peningkatan 14.2 peratus dalam hasil takaful kepada RM392.2 juta bagi suku berkenaan berbanding RM343.5 juta dalam tempoh sama 2025, didorong oleh peningkatan sumbangan segmen Takaful Motor dan Kebakaran.
Dalam pada itu, segmen Takaful Keluarga menjana hasil takaful sebanyak RM568.2 juta dalam suku pertama atau susut 6.6 peratus bagi tempoh sama tahun lepas berikutan jumlah caj perlindungan takaful yang lebih rendah.
Bagi prospek, Takaful Malaysia memaklumkan jurang perlindungan takaful dan insurans di Malaysia masih besar dan berikutan itu prospek pertumbuhan industri kekal menggalakkan.
Menurutnya, ciri-ciri perlindungan juga penting bagi perkhidmatan pelanggan industri berkenaan, namun harga serta nilai semakin menjadi perkara utama dalam sebarang keputusan pembelian.
“Kumpulan kekal yakin terhadap prospek industri serta kekal fokus terhadap aspek penyampaian objektif yang akan memastikan kami kekal sebagai peneraju pasaran dalam segmen Takaful Keluarga dan Takaful Am.
“Susulan perhatian meluas terhadap inflasi, kami percaya produk kami merangkumi aspek harga dan ciri perlindungan memberi keutamaan kepada nilai untuk pelanggan,” menurutnya.
Pada masa sama, kumpulan itu kekal komited terhadap usaha mengembangkan perniagaan secara bertanggungjawab sambil memperkukuh agenda kemampanan serta keutamaan alam sekitar, berpandukan teras utama iaitu tadbir urus kukuh, pemeliharaan alam sekitar, amalan pelaburan bertanggungjawab dan sumbangan sosial yang bermakna.
-- BERNAMA