BERITA TERKINI   Seorang pekerja lelaki Rohingya ditemukan maut dalam kebakaran bangunan bekas pawagam di Jalan Penang, malam ini. - Pengarah Bomba Pulau Pinang | 

ENERtec Asia, MIDA Jalin Kerjasama Pacu Pelaburan Tenaga Boleh Baharu, Penyimpanan Tenaga

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- ENERtec Asia 2026 menjalin kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab serantau untuk pelaburan tenaga bersih, teknologi tenaga boleh baharu (TBB) dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, ia menyatakan kerjasama strategik berkenaan menekankan peranan penting tenaga bersih dan infrastruktur penyimpanan pintar dalam menyokong pertumbuhan pesat ekonomi digital negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata dengan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) untuk merevolusikan infrastruktur tenaga Malaysia, negara mampu mempercepatkan sasaran sifar karbonnya.

"MIDA amat berbesar hati untuk bersama-sama menyokong pameran dan persidangan teknologi tenaga terkemuka di Asia Tenggara, ENERtec Asia 2026 sebagai rakan strategik buat kali kedua.

"Tema tahun ini menterjemahkan dengan sempurna trajektori perubahan industri Malaysia," kata beliau.

Sikh Shamsul Ibrahim  juga berkata dengan menghubungkan inovasi sektor swasta dengan sokongan kerajaan, ia akan menterjemahkan aspirasi hijau kepada peluang pelaburan yang boleh dilaksanakan.

Ini sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi mampan untuk pelabur tempatan dan antarabangsa.

Dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 5 Jun, 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, ENERtec Asia 2026 akan diadakan serentak dengan Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) yang dianjurkan oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) di bawah tema "Tenaga dan AI: Sinergi untuk Peralihan Tenaga".

Platform tersebut akan meneroka bagaimana penumpuan teknologi AI, TBB, grid tenaga dan penyimpanan tenaga termaju sedang membentuk semula operasi industri, perancangan infrastruktur serta pembangunan mampan di seluruh ASEAN.

Ciri utama program itu ialah WATT'S NEXT, sebuah platform seminar dan bengkel yang memberi tumpuan kepada dua tonggak strategik iaitu Tenaga dan AI serta TBB dan BESS.

Sebagai sebahagian daripada program tersebut, MIDA akan menerajui sesi khas mengenai sektor pertumbuhan baharu, rangka kerja pelaburan awam-swasta serta peluang pelaburan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Sementara itu, bagi memaksimumkan penyertaan industri, pelancaran kempen SPOT ENERtec Asia iaitu gabungan berimpak tinggi yang merangkumi pengiklanan luar Lembah Klang akan dilaksanakan, pengaktifan digital yang disasarkan serta penglibatan di lapangan.

Dianjurkan oleh Informa Markets Malaysia dan dihoskan bersama Persatuan Elektrik dan Elektronik Malaysia (TEEAM), program tersebut dijangka menarik kehadiran lebih 12,000 profesional industri dari 60 negara dan wilayah selain penyertaan 1,000 syarikat dan jenama merentasi tujuh dewan pameran.

Program tersebut mendapat pengiktirafan daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Persatuan Global Industri Pameran (UFI) dengan Suruhanjaya Tenaga Sabah bertindak sebagai rakan strategik.

Profesional industri, pelabur dan pembuat keputusan korporat digalakkan untuk membuat prapendaftaran secara dalam talian bagi menjamin akses mereka ke pameran serta slot persidangan peringkat tinggi berkenaan.

Untuk maklumat lanjut dan butiran penuh program, sila layari laman sesawang rasmi di www.enertecasia.com.

-- BERNAMA