BERITA TERKINI   Perkhidmatan Aerotrain di Terminal 1 KLIA, kembali beroperasi 24 jam mulai tengah malam 1 Jun - Loke | Norway mohon maaf kepada Malaysia susulan pembatalan lesen eksport sistem peluru berpandu antikapal | Penyebaran kasih sayang hapus kebencian, perkukuh keharmonian dan perpaduan negara - PM Anwar | Hayati nilai luhur Hari Wesak, bina masyarakat saling memahami dan menghormat - PM Anwar | 

Ringgit Diunjur Kekal Dalam Julat Terhad Minggu Depan

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan dalam julat terhad antara RM3.95 hingga RM3.97 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan aktiviti dagangan dijangka lebih perlahan semasa minggu dagangan singkat susulan cuti umum.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tumpuan pasaran minggu depan terarah kepada pasaran buruh AS, khususnya laporan Senarai Gaji Bukan Ladang (NFP) dan kadar pengangguran.

Beliau berkata persekitaran semasa menunjukkan inflasi di AS dijangka kekal tinggi dengan inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) berada pada 3.8 peratus pada April, jauh melebihi sasaran dua peratus Rizab Persekutuan AS (Fed).

Justeru, data pasaran buruh akan menjadi petunjuk penting dalam menilai keperluan untuk melanjutkan dasar monetari yang agresif, katanya kepada Bernama.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, ringgit ditutup tinggi pada 3.9625/9670 berbanding dolar AS pada paras 3.9655/9700 pada minggu sebelumnya.

Sepanjang minggu ini, mata wang tempatan itu diniagakan kebanyakannya lebih kukuh berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3165/3225 daripada 5.3245/3305 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4874/4904 daripada 2.4925/4954, namun susut berbanding euro kepada 4.6127/6180 daripada 4.6012/6064 sebelum ini.

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah.

Ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 221.6/221.9 daripada 223.8/224.1, namun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1010/1048 daripada 3.0985/1023, turun berbanding baht Thailand kepada 12.1732/1926 daripada 12.1421/1611, serta merosot berbanding peso Filipina kepada 6.43/6.44 daripada 6.42/6.44.

Pasaran akan ditutup pada 1 dan 2 Jun sempena cuti Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong dan Hari Wesak sebelum operasi disambung semula pada 3 Jun.

-- BERNAMA