Malaysia Berpotensi Besar Sokong Pertumbuhan Infrastruktur AI - Schneider Electric

Daripada Rosemarie Khoo Mohd Sani

TAIPEI, 3 Jun (Bernama) -- Schneider Electric yakin Malaysia berkeupayaan untuk menyokong pertumbuhan infrastruktur kecerdasan buatan (AI), disokong oleh ekosistem semikonduktor yang kukuh, industri pusat data yang berkembang pesat serta daya tarikan negara yang semakin meningkat dalam kalangan pelabur teknologi global.

Naib Presiden Schneider Electric Secure Power bagi Asia Timur dan Jepun, Ivy Xin berkata kedudukan Malaysia sebagai pembekal utama cip semikonduktor menarik minat syarikat teknologi antarabangsa utama termasuk dari China yang ingin mengembangkan pelaburan mereka dalam infrastruktur AI dan digital.

Beliau berkata Schneider Electric, yang menyediakan penyelesaian pengurusan tenaga dan automasi untuk pusat data, operasi perindustrian, bangunan dan infrastruktur, berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong aspirasi Malaysia dalam pembangunan infrastruktur AI.

Dengan penyelesaian merangkumi lebih 30 segmen termasuk reka bentuk, simulasi, pembinaan, operasi dan penyelenggaraan, syarikat itu turut bekerjasama dengan NVIDIA bagi membangunkan infrastruktur pusat data AI generasi akan datang.

Ini termasuk sistem pengagihan kuasa arus terus 800 volt (800VDC), teknologi penyejukan termaju dan penyelesaian kembar digital untuk menyokong beban kerja AI yang memerlukan penggunaan tenaga tinggi.

Bercakap kepada Bernama di luar acara Computex 2026 di Taipei hari ini, Xin berkata Schneider Electric turut meneroka peluang untuk menyokong ekosistem pusat data Malaysia yang semakin berkembang, khususnya dalam pengurusan air dan tenaga.

“Sebagai contoh, di Malaysia, selain mempunyai bekalan cip mikro atau litar bersepadu yang baik, kami sedang berbincang dengan satu daripada pemain industri yang belum boleh didedahkan identitinya bagi menyediakan bekalan air bersih untuk menyokong permintaan semasa dan masa depan pusat data.

“Air bersih merupakan komponen penting dalam infrastruktur pusat data kerana ia kekal sebagai antara medium penyejukan pelayan yang paling cekap dan kos efektif,” katanya.

Beliau berkata pusat data AI memerlukan penggunaan tenaga yang amat tinggi, justeru Schneider Electric turut meneliti cara untuk membantu Malaysia meningkatkan kecekapan tenaga.

“Melalui kerjasama kami dengan NVIDIA, kami mempunyai rujukan yang baik untuk membantu pemaju dan pengendali pusat data meningkatkan kecekapan operasi mereka,” katanya.

Sementara itu, ketika keperluan ketumpatan kuasa pusat data terus meningkat, Xin berkata cabaran utama adalah memastikan infrastruktur AI dapat dilaksanakan secara mampan sambil memenuhi keperluan pengkomputeran yang semakin kompleks.

Bagi menangani cabaran itu, beliau berkata syarikat tersebut melabur dalam modul pusat data prafabrikasi (prefab), yang mampu memendekkan tempoh pelaksanaan kepada antara enam hingga lapan bulan berbanding kira-kira setahun sebelum ini.

Melalui kaedah prefab, semuanya telah direka bentuk dan diuji terlebih dahulu di kilang sebelum dihantar ke tapak projek, sekali gus mengurangkan kerja pemasangan dan integrasi sistem di lokasi secara ketara, katanya.

Beliau berkata penyelesaian prefab kini semakin mendapat sambutan di Malaysia dengan kira-kira 60 hingga 70 peratus projek menggunakan pendekatan tersebut.

Selain itu, penyejukan cecair menjadi komponen yang semakin penting dalam infrastruktur AI kerana ia membantu menyingkirkan haba yang dihasilkan oleh unit pemprosesan grafik (GPU) berprestasi tinggi, selain menawarkan kecekapan yang lebih baik berbanding sistem penyejukan udara konvensional.

Mengenai pembangunan bakat, Xin berkata kerjaya dalam industri pusat data kini semakin menarik seiring perkembangan AI, sekali gus mendorong lebih ramai golongan muda untuk menceburi bidang kejuruteraan dan teknologi.

Beliau berkata peningkatan profil pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA Jensen Huang turut membantu meningkatkan minat terhadap bidang kejuruteraan.

“Lebih ramai pelajar kini memilih bidang berkaitan kejuruteraan berbanding sebelum ini,” katanya.

Justeru itu, katanya bagi menyokong keperluan tenaga kerja industri itu, Schneider Electric kini dalam proses menubuhkan pusat latihan serantau di Kuala Lumpur yang dijangka beroperasi pada penghujung tahun ini bagi membantu melahirkan tenaga kerja mahir untuk sektor infrastruktur digital dan pusat data yang semakin berkembang.

Xin berkata Malaysia akan terus menjadi hab penting bagi operasi serantau Schneider Electric, disokong oleh kedudukannya yang berhampiran dengan Singapura serta ekosistem pusat data yang berkembang pesat.

Syarikat itu juga memanfaatkan kepakaran serantau dan keupayaan pelaksanaan projek di Malaysia bagi membantu meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan.

“Kami memanfaatkan kepakaran serantau di Malaysia dan dengan pusat latihan yang bakal dibuka, saya yakin terhadap pembangunan bakat tempatan di negara ini,” katanya.

Computex 2026 berlangsung dari 2 hingga 5 Jun dan merupakan pameran perdagangan teknologi serta Kecerdasan Buatan untuk Pelbagai Benda (AIoT) bertaraf global.

-- BERNAMA