AI Tawar Peluang Pacu Peralihan Tenaga - PM Anwar
Oleh Siti Radziah Hamzah, Maizatul Jamny Muhammad Rosli & Norsyafawati Ab Wahab
KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa walaupun pertumbuhan kecerdasan buatan (AI) menawarkan banyak peluang untuk memacu usaha peralihan tenaga, ia tidak boleh mengatasi aspirasi kelestarian negara.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata cabarannya terletak pada memastikan pertumbuhan AI tidak melebihi aspirasi kelestarian yang dijangka disokong oleh teknologi baharu itu.
Beliau turut menegaskan bahawa walaupun pelbagai negara menyasarkan pertumbuhan ekonomi berasaskan AI, penting untuk memastikan tenaga kekal terjamin, mampu milik kepada pengguna serta mampan yang perlu terus menjadi keutamaan.
Bagaimanapun, AI mempunyai potensi untuk memperkukuh sistem tenaga, daripada meningkatkan kecekapan grid dan mengunjurkan penjanaan tenaga boleh baharu kepada mengoptimumkan penggunaan tenaga perindustrian, kata beliau dalam ucaptama pada hari kedua Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Pengerusi TNB Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.
Anwar berkata perkembangan pesat AI dijangka memacu trajektori ini, dengan pusat data dan infrastruktur pengkomputeran termaju memerlukan tahap penggunaan elektrik yang lebih tinggi.
“Dalam negara bersaing membina ekonomi digital dan memanfaatkan pertumbuhan dipacu AI, cabaran yang kita hadapi bukan sahaja untuk menjana lebih banyak tenaga, malah untuk memastikan ia kekal terjamin, mampu milik dan mampan,” kata beliau.
Justeru, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa peralihan tenaga akan dilaksanakan secara inklusif, bekalan tenaga yang stabil dan mencukupi serta dipacu oleh AI demi kepentingan negara.
“Ia perlu terus menjadi ukuran kepada usaha ini,” kata beliau.
Anwar berkata peralihan tenaga telah menjadi satu daripada tonggak utama kerangka dasar negara selain pembangunan AI dan semikonduktor, dengan ketiga-tiga sektor ini saling berkaitan melalui keperluan tenaga yang semakin meningkat.
Beliau berkata pengembangan infrastruktur digital, terutamanya pusat data, telah mendorong kerajaan untuk menilai semula unjuran tenaga negara bagi memastikan kapasiti yang mencukupi untuk menyokong pertumbuhan masa depan.
“Saya ingat tiga tahun yang lepas, ketika saya mula-mula melihat unjuran tersebut, saya berkata kepada TNB dan kementerian bahawa kita perlu menyemak semula perkara ini kerana tumpuan di rantau ini dan terutamanya di Malaysia, pertumbuhan pusat data yang pesat dan minat terhadap AI dan semikonduktor akan memerlukan lebih banyak air, lebih banyak tenaga,” kata beliau.
Beliau menegaskan bahawa negara yang menyasarkan pertumbuhan dipacu AI perlu berusaha untuk memastikan tenaga kekal terjamin, mampu milik dan mampan serta keperluan ini perlu terus menjadi keutamaan.
“Saya menekankan mampu milik kerana apa sahaja hasil yang baik apabila dikemukakan kepada saya, saya akan mengucapkan terima kasih tetapi saya akan melihat harga yang perlu dibayar oleh pengguna.
“Apakah kesannya kepada rakyat? Bagaimanakah kedudukan mereka dalam teknologi baharu dan AI yang canggih ini?” kata beliau.
Perdana Menteri berkata AI turut menyediakan peluang yang besar untuk menyokong usaha peralihan tenaga, termasuk meningkatkan kecekapan grid, meramalkan penjanaan tenaga boleh baharu dan mengoptimumkan penggunaan tenaga perindustrian.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kemajuan teknologi perlu mengambil kira kemampuan pengguna, kesalinghubungan dan nilai yang selaras dengan kerangka MADANI.
“Mana-mana pihak yang ingin terlibat dalam teknologi baharu termasuk AI perlu melihat keperluan dari segi kemajuan teknologinya tetapi pada masa yang sama melihat kepada implikasinya, impaknya terhadap kerangka MADANI, yang menekankan kepentingan kemanusiaan dan nilai,” kata beliau.
-- BERNAMA