Memanfaatkan Peralihan Tenaga Sebagai Pemangkin Penstrukturan Semula Ekonomi - Akmal Nasrullah

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Peralihan tenaga harus dimanfaatkan sebagai pemangkin untuk penstrukturan semula ekonomi yang lebih luas dengan bidang tumpuan strategik termasuk kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan pusat data untuk meningkatkan produktiviti dan memperkukuh prospek ekonomi negara.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata agenda peralihan tenaga tidak boleh dilihat semata-mata menerusi lensa penyahkarbonan kerana penyepaduan tenaga, pendigitalan dan pertumbuhan ekonomi adalah penting untuk memperkukuh daya tahan dan daya saing jangka panjang Malaysia.

“Kita tidak seharusnya menganggap tenaga dan pendigitalan sebagai segmen yang berasingan. Objektifnya adalah untuk mengintegrasikan pemacu pertumbuhan ini dari perspektif holistik,” katanya.

“Oleh itu, pendekatan seluruh kerajaan dan seluruh negara diperlukan untuk memperkukuhkan lagi integrasi,” katanya semasa Sesi Menteri mengenai "Powering Malaysia's Next Growth Chapter: Energy, Economy & Digital In Sync” di Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) pada Khamis.

Akmal Nasrullah berkata Malaysia mesti memberi penekanan lebih besar terhadap produktiviti dan penciptaan nilai dalam usahanya mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih bersepadu, memandangkan tenaga, pendigitalan dan kerumitan ekonomi saling berkaitan rapat.

Beliau berkata memandangkan permintaan tenaga dan air yang semakin meningkat bagi teknologi digital, tenaga berfungsi sebagai asas untuk pendigitalan kerana ia meningkatkan produktiviti dan memacu aktiviti ekonomi bernilai lebih tinggi.

“Daripada produktiviti, kita harus menyasarkan kerumitan ekonomi lebih besar dan pendapatan lebih baik untuk rakyat Malaysia. Itulah sebabnya Malaysia mesti melangkaui pertumbuhan sektor dan menerima pakai pendekatan yang lebih holistik,” katanya.

Akmal Nasrullah juga menggesa negara untuk mengekalkan bekalan kuasa beban asas yang boleh dipercayai dan memajukan agenda peralihan tenaga untuk memastikan keselamatan tenaga jangka panjang dan kestabilan grid.

Beliau berkata gas asli akan menjadi semakin penting dalam mengekalkan keselamatan tenaga dan kestabilan grid apabila Malaysia secara beransur-ansur mengurangkan pergantungannya kepada arang batu.

“Kita perlu memastikan kesinambungan bekalan gas kita. Pada masa ini, kita sedang melalui proses menghasilkan Pelan Hala Tuju Gas Negara (NGR) dan diharapkan kita dapat melaksanakannya (NGR) tahun ini.

“Penutupan Selat Hormuz adalah cara untuk menguji konsep kita kerana pasaran gas memerlukan pendekatan holistik agar Malaysia kekal berdaya tahan,” katanya.

Tambahan pula, Akmal Nasrullah berkata Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik dan berisiko rendah, disokong oleh kestabilan dan konsistensi dasar.

“Peralihan tenaga bukan sahaja mengenai penyahkarbonan tetapi peluang untuk penstrukturan semula ekonomi dan beralih kepada industri bernilai lebih tinggi.

“Pelaburan strategik harus membantu mewujudkan pekerjaan mahir, membangunkan bakat tempatan dan memperkukuh daya saing jangka panjang Malaysia,” katanya.

 

-- BERNAMA