OSK Property Lancar Pembangunan Berhadapan Pantai Bernilai RM690 Juta Di Kuantan
KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- OSK Property Holdings Bhd melancarkan OSK Ombak, iaitu pembangunan berhadapan pantai pegangan bebas bernilai RM690 juta di Balok Beach, Kuantan, merangkumi 1,274 unit kediaman lengkap dengan perabot, yang disasarkan siap pada 2030.
Dalam satu kenyataan hari ini, pemaju hartanah itu berkata OSK Ombak meliputi kawasan seluas 2.42 hektar dan terdiri daripada tiga blok pangsapuri servis berserta unit runcit.
“Penduduk akan mempunyai akses kepada lebih 1.21 hektar kemudahan, termasuk kolam renang bertingkat, zon kesejahteraan, ruang riadah podium dan kawasan komuniti,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chu Wai Lune berkata OSK Ombak mencerminkan komitmen berterusan syarikat itu untuk mewujudkan pembangunan yang direka bentuk dengan teliti dan melangkaui kehidupan fungsional.
“Dengan persekitaran berhadapan pantai, yang diinspirasikan oleh pusat peranginan dan asas yang kukuh, pembangunan ini direka untuk memberikan kepuasan gaya hidup dan penciptaan nilai jangka panjang," katanya.
Beliau berkata OSK Ombak direka bentuk untuk memenuhi jangkaan gaya hidup dan pelaburan yang sentiasa berubah, ketika fleksibiliti, aksesibiliti dan pengalaman hidup semakin dihargai.
“Dengan unjuran pertumbuhan Kuantan yang disokong oleh pengembangan perindustrian dan naik taraf infrastruktur, kami melihat potensi jangka panjang yang kukuh dalam pasaran ini,” tambahnya.
Kedudukannya yang strategik dengan akses terus ke Balok Beach, OSK Ombak merupakan pembangunan berhadapan pantai pegangan bebas yang jarang ditemui, sekali gus menawarkan pemandangan laut tanpa gangguan dan konsep pusat peranginan pantai Mediterranean.
Pembangunan ini dijangka menerima manfaat daripada pertumbuhan sektor pelancongan Kuantan dan peningkatan permintaan bagi penginapan fleksibel, selain perkembangan perindustrian dan infrastruktur yang berterusan, terutamanya dalam Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China dan koridor perindustrian Gebeng yang lebih meluas.
Menurut OSK Property, pengembangan Pelabuhan Kuantan dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijadualkan beroperasi pada 2027, juga dijangka memperkukuhkan ketersambungan serantau dan menyokong aktiviti pelancongan dan perniagaan di negeri ini.
“Berdasarkan ekosistem yang kukuh ini, OSK Ombak menerima manfaat daripada corak permintaan yang sudah terbukti, selain kurangnya bekalan kediaman berhadapan pantai pegangan bebas yang meningkat dan persekitaran destinasi percutian yang matang,” katanya sambil menambah bahawa akses terus di kawasan pantai dan kesediaan pengurusan penginapan jangka pendeknya menjadikan projek itu mampu menampung permintaan daripada pelancong domestik dan serantau.
Beliau berkata kemudahan susun atur dwi-kunci juga membolehkan pemilik mengoptimumkan hasil sewaan melalui pengaturan penggunaan pelbagai penyewa atau hibrid, manakala unit berperabot lengkap membolehkan pengaktifan sewaan segera dengan persediaan minimum
Menurut pemaju lagi, OSK Ombak mewakili fasa ketiga koridor pembangunan berhadapan pantai, susulan pengambilan Swiss Garden Resort Residences dan TimurBay Seafront Residences.
Katanya, pembangunan terdahulu menunjukkan permintaan berterusan bagi kehidupan berhadapan pantai, disokong oleh aktiviti sewa penginapan jangka pendek yang aktif dan minat pembeli yang konsisten.
Sejajar dengan matlamat kemampanan OSK Property, pemaju hartanah itu berkata, OSK Ombak direka bentuk untuk mencapai pensijilan GreenRE Silver menerusi sistem penggabungan sistem cekap tenaga, ciri penjimatan air dan bahan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Harga indikatif untuk pembangunan ini bermula dari RM380,000,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, sila layari oskombak.com atau hubungi 011-2802 8000.
-- BERNAMA