ETCon26 Melabuhkan Tirai Dengan Sokongan Padu Industri, Perkukuh Kerjasama Memacu Peralihan Tenaga Inklusif - TNB

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26), konvensyen utama Tenaga Nasional Bhd (TNB), melabuhkan tirainya hari ini dengan sokongan padu industri yang berfokuskan untuk mengubah dialog dan perbincangan strategik kepada tindakan serta pelaksanaan yang konkrit.

Persidangan tiga hari yang menghimpunkan lebih 4,000 delegasi dari seluruh ASEAN dan pasaran utama global itu menyaksikan terjalinnya pelbagai kerjasama dan perjanjian strategik, penyelarasan dasar serta kolaborasi berasaskan pelaburan, yang memperkukuh peranan ETCon26 sebagai pemangkin pelaksanaan inisiatif yang mendukung agenda peralihan tenaga Malaysia dan ASEAN.

Penyertaan pembuat dasar, agensi kerajaan, peneraju industri, institusi kewangan dan rakan global dalam ETCon26 mencerminkan momentum serantau yang semakin mantap ke arah mempercepat penggunaan tenaga bersih dan memperkukuh kerjasama rentas sempadan.

Perkembangan ini turut memperlihatkan kesungguhan pelbagai pihak untuk membina ekosistem tenaga yang lebih berdaya tahan, berdaya saing dan bersedia menghadapi masa depan, selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

ETCon26 turut menerima sokongan meluas daripada ekosistem tenaga global melalui penglibatan 42 rakan strategik merentasi pelbagai sektor.

Persidangan ini juga menghimpunkan peserta dari lebih 60 negara serta kira-kira 80 penceramah yang terdiri daripada pembuat dasar, peneraju industri, pelabur, pakar teknologi dan ahli akademik di seluruh dunia.

Penyertaan yang memberangsangkan ini mengukuhkan kedudukan ETCon26 sebagai platform serantau yang semakin signifikan dalam memacu perbincangan, kerjasama dan penyelesaian berkaitan peralihan tenaga.

 

Kerjasama Strategik Memacu Pelaksanaan

 

ETCon26 menyaksikan pemeteraian 15 kerjasama dan perjanjian strategik melibatkan sektor tenaga boleh baharu, perdagangan elektrik rentas sempadan, pembangunan grid, infrastruktur gas dan pembangunan keupayaan.

Kerjasama ini bertujuan mempercepat penggunaan tenaga bersih dan boleh baharu, memperkukuh infrastruktur grid, memperluas inisiatif tenaga hijau rentas sempadan serta membangunkan bakat dan keupayaan tempatan untuk menyokong aspirasi transisi tenaga jangka panjang negara.

Perjanjian-perjanjian tersebut disaksikan oleh kepimpinan tertinggi negara sepanjang program berlangsung termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Turut menyaksikan Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dan Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Sokongan ini mencerminkan komitmen institusi yang kukuh dan kesediaan kerajaan untuk terus mempercepat agenda tenaga lestari negara.

Antara kerjasama yang dimeterai termasuk pembangunan projek solar terapung hidro hibrid, solar di darat dengan sistem penyimpanan bateri, inisiatif tenaga boleh baharu rentas sempadan, pemasangan solar di bumbung, pembangunan infrastruktur gas, pemodenan grid dan program pembangunan kapasiti menerusi Energy Transition and Sustainability Academy (ETSA).

 

Memacu Peralihan Tenaga ASEAN

 

Sepanjang persidangan, pelbagai sesi perbincangan memberi tumpuan kepada keperluan mendesak untuk mempercepat peralihan tenaga ASEAN sejajar peningkatan permintaan elektrik yang didorong oleh kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan pertumbuhan pesat pusat data.

Perbincangan turut menyentuh aspek keselamatan bekalan tenaga bersih, pengukuhan daya tahan grid, peluasan penggunaan tenaga boleh baharu dan peningkatan kesalinghubungan tenaga rentas sempadan melalui inisiatif seperti Grid Kuasa ASEAN.

Menerusi sesi plenari, dialog kementerian dan perbincangan teknikal, para peserta menegaskan kepentingan penyelarasan yang lebih erat antara dasar, industri dan pelaburan bagi memastikan rantau ini kekal berdaya saing, terjamin dan lestari dalam landskap global yang semakin mencabar.

ETCon26 juga menekankan bahawa peralihan tenaga perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan berteraskan rakyat, dengan fokus diberikan kepada pembangunan tenaga kerja, penglibatan industri tempatan, pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta penciptaan peluang baharu dalam ekonomi hijau dan digital.

 

Memperkasa fasa Peralihan Tenaga Seterusnya

 

Sebagai penganjur, TNB memainkan peranan penting dalam menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan bagi memperkukuh kerjasama dan mempercepat pelaksanaan projek.

Persidangan ini memperlihatkan peranan TNB bukan sekadar sebagai syarikat utiliti, tetapi juga sebagai pemudah cara dan pemacu kerjasama strategik dalam landskap tenaga negara yang terus berkembang.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad berkata, ETCon26 membuktikan yang Malaysia mempunyai rangka kerja dasar, kerjasama industri, kepakaran teknikal dan komitmen institusi yang diperlukan untuk mempercepat peralihan tenaga pada skala yang diperlukan.

“Berakhirnya ETCon26 menandakan permulaan kepada fasa seterusnya apabila pelbagai perjanjian dan kerjasama yang dimeterai akan diterjemahkan kepada tindakan melalui koordinasi yang lebih kukuh di peringkat Malaysia dan ASEAN,” kata beliau.

Ketika permintaan tenaga dan keperluan digital ASEAN terus meningkat, ETCon26 telah meletakkan asas yang kukuh bagi mempererat kesalinghubungan serantau, menggalakkan pertumbuhan yang lebih lestari serta memperkukuh sistem tenaga yang lebih berdaya tahan.

Usaha ini sekali gus menyokong peranan Malaysia dalam membentuk masa depan tenaga yang lebih lestari dan bersepadu di rantau ini.

-- BERNAMA