IPO Elsa Terlebih Langgan 27 Kali Menjelang Penyenaraian Pasaran ACE
KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Tawaran awam permulaan (IPO) penyedia perkhidmatan serta penyelesaian peralatan minyak dan gas bersepadu Elsa Bhd terlebih langganan sebanyak 27 kali menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia yang dijadualkan pada 16 Jun, 2026.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu menyatakan ia menerima sebanyak 9,090 permohonan untuk 751.63 juta saham yang mewakili jumlah nilai permohonan sebanyak RM172.87 juta bagi 26.92 juta saham yang ditawarkan untuk permohonan oleh orang awam Malaysia.
"Bagi bahagian bumiputera, sebanyak 4,896 permohonan diterima untuk 276.64 juta saham yang diterjemahkan kepada kadar terlebih langganan sebanyak 19.55 kali.
"Bagi baki bahagian orang awam Malaysia pula, sebanyak 4,194 permohonan dikemukakan untuk 474.98 juta saham yang mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 34.29 kali,” jelasnya.
Ia menambah IPO Elsa merangkumi terbitan awam sebanyak 118.4 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 36.4 juta saham sedia ada pada harga IPO 23 sen sesaham serta terbitan awam tersebut akan meraih perolehan kasar kira-kira RM27.23 juta.
Pengarah Urusan Elsa Daniel Ilham Khong berkata IPO ini menandakan langkah penting bagi syarikat dalam memperkukuh kapasiti pelaksanaan projeknya serta membina lagi keupayaan dalam penyelesaian perkhidmatan medan minyak, penyelesaian digital serta penyelesaian robotik dan kejuruteraan.
Beliau berkata ketika syarikat melangkah ke arah penyenaraian, tumpuannya kekal pada pelaksanaan, tadbir urus dan penciptaan nilai jangka panjang.
“Kami akan terus menyokong keperluan sektor tenaga yang sentiasa berkembang menerusi kepakaran teknikal, akses pasaran yang dilesenkan Petronas, rakan teknologi dan integrasi projek beraset ringan,” katanya.
Kumpulan itu memaklumkan ia kini mengekalkan 140 projek sedia ada yang merangkumi 109 projek tetap dengan vendor tunggal serta 31 projek perjanjian jangka panjang (kontrak payung) dan anggaran nilai baki kontrak sebanyak RM636.03 juta selain nilai baki pesanan tetap sebanyak RM265.45 juta.
Elsa juga mengemukakan 157 tender dan cadangan dengan nilai kontrak agregat sebanyak RM655.47 juta yang kini masih menunggu penilaian.
Malacca Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan.
-- BERNAMA