BERITA TERKINI   Enam termasuk seorang bayi maut dalam kemalangan di Sungai Petani, Kedah petang ini - Bomba | PH Sabah sambut baik pengumuman RM1.5 bilion geran khas interim - Mustapha Sakmud | Datuk Ruji Ubi dilantik sebagai Setiausaha PH Sabah - Mustapha Sakmud | DAP akan pertahan semua 11 kerusi DUN pada PRN Negeri Sembilan - Loke | DAP bakal bertanding di 17 kerusi DUN pada PRN Johor - Loke  | 

Thailand Kekal Sebagai Pasaran Utama Untuk Perluasan Francais Malaysia - Pernas

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 6 Jun (Bernama) -- Malaysia sedang memperingkatkan usaha untuk mengembangkan jejak francaisnya di Thailand dengan Perbadanan Nasional Bhd (Pernas), menyasarkan potensi jualan sebanyak RM30 juta melalui penyertaannya dalam pameran Francais dan Peluang Perniagaan Thailand (TFBO) 2026.

Pengerusi Pernas, Datuk Mohamed Rozhan Mohd Ghazalli, mengetuai delegasi jenama francais Malaysia di pameran itu berkata Thailand kekal sebagai pasaran strategik utama bagi pemberi francais Malaysia yang mahu mengembangkannya di peringkat wilayah.

Beliau berkata penyertaan dalam TFBO 2026 menyediakan platform penting untuk syarikat Malaysia mewujudkan perkongsian perniagaan yang bermakna, meneroka peluang pasaran baharu dan mengukuhkan kerjasama francais antara Malaysia dan Thailand.

"Kami berharap jenama Malaysia akan dapat menembusi pasaran ini dengan jayanya. Berdasarkan maklum balas awal diterima, syarikat Malaysia yang menyertai pameran itu sedang menyasarkan potensi sasaran jualan sekitar RM30 juta melalui peluang dijana di TFBO," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Mohamed Rozhan berkata pengembangan jenama francais Malaysia ke Thailand akan menghasilkan manfaat bersama untuk kedua-dua negara dengan menggalakkan pelaburan, mewujudkan peluang perniagaan, memudahkan pertukaran pengetahuan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

"Kami juga menggalakkan peserta dalam pameran ini untuk mendapatkan maklumat pasaran, ia akan menyokong keputusan pengembangan bermaklumat dan mampan. Inisiatif ini mencerminkan komitmen kami untuk memajukan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab francais terkemuka di ASEAN dan memupuk hubungan ekonomi lebih kukuh antara kedua-dua negara," katanya.

TFBO 2026 diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Bangkok (BITEC) dari 4 hingga 7 Jun, menampilkan lebih daripada 150 jenama francais terkemuka dari lebih 10 negara dan dijangka menarik lebih daripada 12,000 pembeli serius, pemegang francais induk dan pelabur.

Terdahulu, Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah merasmikan Pavilion Malaysia anjuran Pernas di TFBO 2026, mempamerkan 10 jenama Malaysia daripada pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman (F&B), pendidikan, perkhidmatan, dobi, industri kreatif dan perkhidmatan pembangunan kanak-kanak.

Wan Zaidi berkata penyertaan 10 pempamer Malaysia di bawah Pernas mencerminkan kekuatan yang semakin meningkat, inovasi dan daya tarikan antarabangsa jenama francais Malaysia.

"Kami berbangga melihat kisah kejayaan Malaysia memberi impak bermakna di Thailand. Jenama seperti LaundryBar, beroperasi di sini selama lebih enam tahun bersama-sama dengan beberapa jenama terkenal seperti Secret Recipe dan MR DIY telah menunjukkan potensi francais Malaysia untuk berkembang maju di pasaran Thailand.

"Baru-baru ini, kemasukan ZUS Coffee ke Thailand terus menggariskan keyakinan perniagaan Malaysia dalam pasaran ini dan berfungsi sebagai contoh terbaik pengembangan dan perkongsian rentas sempadan yang berjaya," katanya.

Beliau berkata pencapaian ini mencerminkan hubungan ekonomi dan hubungan antara rakyat yang kukuh antara Malaysia dan Thailand.

"Kami berharap platform ini akan terus memperkukuhkan hubungan ekonomi Malaysia-Thailand, memupuk perkongsian baharu dan membuka jalan untuk lebih banyak jenama Malaysia berkembang dengan jayanya di seluruh rantau ini dan seterusnya," katanya.

Sementara itu, Pernas memaklumkan bahawa industri francais menyumbang lebih daripada RM46 bilion kepada ekonomi Malaysia pada tahun 2025, disokong oleh kadar pertumbuhan tahunan purata kira-kira 15 peratus dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Malaysia juga telah menetapkan sasaran kebangsaan untuk mencapai RM100 bilion dalam jualan francais menjelang 2030, yang mana memerlukan pertumbuhan tahunan kira-kira lapan hingga 10 peratus, menurut Pernas.

-- BERNAMA