BERITA TERKINI   PM Anwar tiba di Ashgabat pada 8 malam (11 malam waktu Malaysia) untuk lawatan rasmi dua hari ke Turkmenistan | Kerajaan Persekutuan luluskan penubuhan Majlis Tahfiz Negara - TPM Ahmad Zahid | PRN Johor: Chu Poh Yee calon DAP bagi kerusi DUN Mengkibol menggantikan penyandang Chew Chong Sin - Loke | Bekalan minyak: draf perjanjian dan prinsip kerjasama telah dipersetujui, hanya menunggu proses pemuktamadan & pemeteraian selepas lawatan teknikal terperinci - PM Anwar | Rusia beri jaminan bekalan minyak dan gas kepada Malaysia untuk jangka masa panjang - PM Anwar | 

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari Susulan Ketegangan Baharu Asia Barat

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi dalam wilayah negatif, seiring dengan penurunan pasaran serantau susulan serangan baharu di Asia Barat serta kebimbangan terhadap saham teknologi.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 11.23 mata atau 0.66 peratus kepada 1,682.20 daripada 1,693.43 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks penanda aras itu dibuka 9.89 mata lebih rendah pada 1,683.54, sebelum merosot serendah 1,676.95 sepanjang sesi dagangan pagi.

Sentimen pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 846 berbanding 241, manakala 402 kaunter tidak berubah, 1,186 tidak diniagakan dan 13 digantung dagangan.

Dalam nota penyelidikan, Malacca Securities berkata pasaran tunai dijangka menjejaki tekanan jualan ketara di Wall Street pada Jumaat lepas, dengan sentimen negatif dijangka turut mempengaruhi pasaran tempatan hari ini sekali gus mewujudkan peluang belian ketika harga rendah dalam kalangan saham perbankan.

“Pasaran serantau mengambil petunjuk daripada pasaran Amerika Syarikat (AS) memandangkan Wall Street dijangka terus berdepan tekanan jualan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura merosot 1.50 peratus kepada 4,974.11, Indeks Hang Seng Hong Kong susut 1.18 peratus kepada 24,668.59, Indeks Kospi Korea Selatan merosot 5.21 peratus kepada 7,735.29 dan Indeks Nikkei Jepun turun 3.97 peratus kepada 63,943.88.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut 10 sen kepada RM10.70, Public Bank turun sembilan sen kepada RM4.78 dan IHH Healthcare kehilangan 18 sen kepada RM8.67, manakala Tenaga Nasional dan CIMB masing-masing tidak berubah pada RM14.10 dan RM7.39.

Bagi saham aktif, Zetrix AI merosot dua sen kepada 80.5 sen, Hong Seng Consolidated kekal pada satu sen, VS Industry turun setengah sen kepada 20.5 sen, SFP Tech susut satu sen kepada 29.5 sen, Top Glove naik 2.5 sen kepada 84 sen, AirAsia X berkurangan tiga sen kepada RM1.11 dan Capital A turun satu sen kepada 41 sen.

Antara kaunter untung utama, Ideal Capital melonjak 30 sen kepada RM4.10, Kim Loong meningkat 20 sen kepada RM2.75, Petronas Chemicals naik 13 sen kepada RM5.56, SD Guthrie menambah 10 sen kepada RM6.55 dan Subur Tiasa meningkat 6.5 sen kepada 72 sen.

Bagi kaunter rugi utama, Nestle susut RM1.34 kepada RM92.94, Malaysian Pacific Industries merosot RM1.08 kepada RM45.72, Petronas Dagangan turun 56 sen kepada RM18.68, United Plantations berkurangan 50 sen kepada RM31.70 dan UMS Integration kehilangan 45 sen kepada RM7.55.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 99.04 mata kepada 12,503.02, Indeks FBM Top 100 susut 93.53 mata kepada 12,348.37 dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 83.40 mata kepada 12,486.75.

Indeks FBM Mid 70 susut 184.67 mata kepada 18,114.93 manakala Indeks FBM ACE turun 100.22 mata kepada 4,633.02.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 208.41 mata kepada 19,575.90, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.40 mata kepada 197.34 dan Indeks Tenaga susut 7.91 mata kepada 788.29, manakala Indeks Perladangan meningkat 54.74 mata kepada 8,726.28.

-- BERNAMA