Kekuatan Kredit Asia Selatan, Asia Tenggara Kekal Stabil 12 Hingga 18 Bulan Akan Datang - Moody's

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Kekuatan kredit di seluruh Asia Selatan dan Asia Tenggara akan kekal stabil bagi tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang walaupun pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) akan menjejaskan kualiti kredit bagi sebahagian syarikat yang dinilai selain berdepan ketidakpadanan struktur mata wang.

Menurut Moody’s Ratings, dalam laporan terkini mengenai syarikat bukan kewangan di Asia Selatan dan Asia Tenggara yang dikeluarkan hari ini, kebanyakan penerbit yang dinilai (83 peratus) sama ada tidak mempunyai pendedahan pertukaran wang asing yang ketara atau mempunyai penampan kewangan yang mencukupi untuk menahan susut nilai mata wang selanjutnya.

Moody’s mendedahkan ringgit Malaysia dan baht Thailand meningkat nilai berbanding dolar AS sepanjang tahun lepas, dipacu oleh eksport komoditi yang kukuh serta kemasukan modal ke dalam sektor pembuatan.

Sebaliknya, rupiah Indonesia dan rupee India turun ke paras terendah dalam sejarah berbanding dolar AS manakala peso Filipina turut menyusut nilai dengan ketara, menyaksikan ketiga-tiga mata wang tersebut merosot antara 10 peratus hingga 12 peratus sepanjang tahun lepas.

Ia menyatakan penyusutan nilai mata wang di seluruh Asia Selatan dan Asia Tenggara semakin meruncing sepanjang 2025 dan 2026, dipacu oleh konflik Asia Barat yang kian memuncak serta kejutan harga minyak yang berkaitan, tarif AS dan aliran keluar modal asing.

Menurut laporan itu, kesan kredit daripada penyusutan nilai mata wang mencerminkan perbezaan dalam profil mata wang bagi hasil pendapatan dan kos.

Ia memaklumkan sektor yang mempunyai kos yang ketara dalam denominasi dolar AS dan sebahagian besarnya meraih hasil dalam mata wang tempatan khususnya syarikat penerbangan dan syarikat pemasaran minyak di India, berdepan tekanan paling besar memandangkan lindung nilai semula jadi yang terhad.

Sebaliknya, syarikat-syarikat yang mempunyai hasil terikat dengan dolar AS termasuk yang berada dalam sektor perlombongan, komoditi dan perkhidmatan teknologi maklumat, mendapat manfaat daripada lindung nilai semula jadi yang menyokong margin keuntungan mata wang tempatan semasa tempoh penyusutan nilai.

"Syarikat eksport juga meraih keuntungan apabila produk dan perkhidmatan mereka menjadi lebih kompetitif dari segi harga di pasaran antarabangsa," tambahnya.

Moody’s menyatakan syarikat yang mempunyai hutang dolar AS yang besar dan kebanyakan hasil pendapatan daripada pasaran domestik akan terdedah kepada kos khidmat hutang yang lebih tinggi serta peningkatan obligasi pembayaran balik apabila mata wang tempatan melemah berbanding dolar AS.

Sebaliknya, hasil yang terikat dengan dolar AS memberikan lindung nilai semula jadi untuk syarikat perlombongan, komoditi dan perkhidmatan teknologi maklumat sekali gus menyokong margin keuntungan mata wang tempatan semasa tempoh penyusutan nilai, jelasnya.

"Syarikat-syarikat yang mempunyai sebahagian besar asas hasil domestik dan hutang dolar AS yang besar berdepan risiko kos khidmat hutang yang lebih tinggi serta obligasi pembayaran balik yang melambung," menurut Moody's.

Walaupun terdapat tekanan ini, Moody’s menyatakan ia tidak menjangkakan perbelanjaan faedah bagi syarikat yang dinilai akan meningkat dengan ketara kerana kadar dasar di sebahagian besar rantau ini telah pun meningkat sepanjang tiga tahun lepas.

Ia sejajar dengan kitaran pengetatan Rizab Persekutuan AS sekali gus mengehadkan peningkatan tambahan dalam kos pinjaman.

Bagaimanapun, syarikat yang bergantung kepada hutang mata wang asing boleh berdepan kos lindung nilai yang lebih tinggi jika dolar AS kekal kukuh sekali gus meningkatkan keseluruhan perbelanjaan pembiayaan meskipun kadar faedah asas kekal stabil, kata agensi penarafan itu.

-- BERNAMA