BERITA TERKINI   Bersatu Kekal Dalam PN, Guna Logo PN Pada PRN Johor, Negeri Sembilan - Muhyiddin | 

Gas Malaysia Perkukuh Keselamatan, Daya Tahan Tenaga Melalui Kerjasama Dengan Tokyo Gas, VTTI

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Gas Malaysia Bhd, unit di bawah MMC Corporation Bhd mengambil langkah penting dalam memperkukuh keselamatan tenaga Malaysia melalui pemeteraian perjanjian pembangunan bersama dengan Tokyo Gas Co Ltd dan VTTI BV bagi cadangan pembangunan terminal regasifikasi gas asli cecair (LNG) (RGT) di Yan, Kedah.

Gas Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan projek itu menandakan langkah penting dalam mengukuhkan daya tahan tenaga jangka panjang Malaysia dengan memperkenalkan satu lagi pintu masuk baharu di wilayah utara Semenanjung Malaysia.

Menurutnya RGT Yan dijangka meningkatkan fleksibiliti bekalan, mempelbagaikan sumber gas dan menyokong keperluan tenaga yang semakin meningkat bagi sektor perindustrian dan tenaga di rantau ini.

Kemudahan itu dirancang sebagai unit penyimpanan terapung dan regasifikasi luar pesisir di Pulau Bunting, Yan dan dijangka mempunyai kapasiti sehingga enam juta tan setahun.

“Dengan anggaran kos pembangunan antara RM2 bilion dan RM3 bilion, projek itu adalah pelaburan jangka panjang yang besar dalam infrastruktur tenaga Malaysia,” menurut Gas Malaysia.

Menurutnya melalui kerjasama itu, Gas Malaysia akan bertindak sebagai peneraju projek, bekerjasama dengan Tokyo Gas dan VTTI bagi menggabungkan kepakaran dan kelebihan masing-masing merentasi rantaian nilai LNG.

Gas Malaysia memaklumkan, selepas menerima surat kebenaran untuk meneruskan projek daripada Suruhanjaya Tenaga pada Mac 2026, projek itu kini memasuki fasa pembangunan seterusnya merangkumi aspek teknikal, komersial dan kawal selia sebelum mencapai keputusan pelaburan yang muktamad.

Sebaik sahaja siap, RGT Yan dijangka memperkukuh keselamatan tenaga Malaysia, menyokong pertumbuhan ekonomi di wilayah utara dan meningkatkan daya tahan sistem bekalan gas negara, menurutnya.

-- BERNAMA