BERITA TERKINI   Tiada unsur buli babitkan kes pelajar tingkatan empat yang meninggal dunia di sebuah sekolah di Seremban - KP Pendidikan | 

Liftech Sasar Raih RM23 Juta Menerusi IPO Di Pasaran ACE

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Liftech Group Bhd menyasarkan untuk meraih RM23 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) sempena cadangan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd pada 30 Jun, 2026.

Pakar dalam peralatan pengangkatan dan pengendalian industri itu berkata sebanyak RM13.8 juta atau 60 peratus daripada hasil IPO akan digunakan bagi membayar balik pinjaman bank yang digunakan untuk membiayai pembelian kemudahan operasi di Bukit Minyak, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu.

Katanya RM1.7 juta lagi akan diperuntukkan bagi pembelian mesin dan peralatan untuk kilangnya di Taiping, RM1 juta bagi kerja-kerja pengubahsuaian dan naik taraf, RM2 juta sebagai modal kerja serta RM4.5 juta bagi menampung anggaran perbelanjaan penyenaraian.

Kemudahan operasi tersebut akan mengukuhkan kehadiran Liftech di utara Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak, selain menyokong pelan pertumbuhan syarikat pada masa hadapan, kata syarikat itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan Bernard Ng berkata pembayaran balik pinjaman itu akan mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat serta memberikan fleksibiliti kewangan lebih baik untuk menyokong pelan pengembangan jangka panjang syarikat selepas disenaraikan.

Di bawah IPO berkenaan Liftech akan menerbitkan 79.2 juta saham baharu dan menawarkan 15.8 juta saham sedia ada untuk jualan, masing-masing mewakili 25.2 peratus dan lima peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 314.9 juta saham.

Daripada jumlah saham baharu itu, sebanyak 15.8 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia menerusi pengundian, 7.2 juta saham kepada pengarah dan pekerja yang layak, 39.4 juta saham kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), serta 16.8 juta saham kepada pelabur terpilih melalui tawaran saham persendirian.

Pada harga IPO 29 sen sesaham, Liftech dijangka mencapai permodalan pasaran sebanyak RM91.3 juta selepas disenaraikan.

Tempoh langganan IPO itu dibuka mulai hari ini sehingga 16 Jun, 2026, manakala penyenaraian di Pasaran ACE dijadualkan pada 30 Jun, 2026.

M&A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO tersebut, manakala Wyncorp Advisory Sdn Bhd dilantik sebagai penasihat kewangan korporat.

-- BERNAMA