Konflik Asia Barat Melonjak Permintaan Arang Batu Asia Pasifik -- Rystad Energy
KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Permintaan arang batu terma Asia Pasifik (APAC) mencapai lonjakan jangka pendek yang ketara, dengan tambahan 150 juta tan (Mt) penggunaan kumulatif diunjurkan sehingga 2030, dengan kira-kira separuh dijangka tiba pada 2026 di tengah-tengah konflik Asia Barat yang berterusan, menurut Rystad Energy.
Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata pemacuan lonjakan itu bukanlah pembalikan dasar tetapi jurang bekalan, dengan kekurangan gas asli cecair (LNG) sebanyak 35 juta tan yang dianggarkan tahun ini.
“Ini memaksa utiliti yang bergantung kepada gas untuk mengendalikan kapasiti arang batu sedia ada dengan lebih tegas, disokong oleh penyingkiran had kawal selia di seluruh Asia Timur Laut,” katanya.
Rystad Energy juga menjangkakan tambahan penggunaan arang batu di Asia akan meningkat kepada hampir 70 juta tan pada 2026 di bawah senario pasaran gas yang terhad berterusan, didorong bukan oleh penambahan kapasiti baharu tetapi oleh armada arang batu sedia ada yang beroperasi pada kadar penggunaan yang lebih tinggi.
Beliau berkata penjanaan arang batu di seluruh Timur Laut dan Asia Tenggara telah meningkat dengan mendadak apabila pengeluaran gas merosot dan penghantaran arang baru laut global ke rantau ini meningkat secara material.
“Penjanaan arang batu Jepun meningkat 11 peratus walaupun pengeluaran gas menyusut 13 peratus, dan import arang batu Korea Selatan serta Jepun masing-masing menjejaki lebih 50 peratus dan 20 peratus di atas paras tahun lalu bagi bulan Mei,” Rystad Energy.
Penganalisis penyelidikan arang batu Rystad Energy, Tonmit Talukdar berkata arang batu sedang mengambil langkah perlu apabila harga gas meningkat, bekalan yang terhad atau loji menghentikan semula operasinya buat sementara waktu.
Beliau berkata tindak balas itu kekal terkawal berbanding ketika krisis Russia-Ukraine pada 2022, apabila gangguan terhadap bekalan gas Russia mencetuskan lonjakan mendadak dalam permintaan arang batu global.
“Apa yang kita saksikan bukanlah kebangkitan semula arang baru tetapi semakan realiti bagi peralihan tenaga APAC.
“Ketidaktentuan harga LNG telah mengubah kos tanpa membalikkan langkah ke arah tenaga yang lebih bersih, dan harga arang batu terma telah bertindak balas terhadap kesasakan itu dengan pembelian berhati-hati, penimbunan stok dan premium risiko geopolitik dan bukannya sebarang perubahan struktur," katanya.
Beliau menambah bahawa sehingga penyimpanan, fleksibiliti grid dan skala kapasiti rendah karbon yang kukuh mencukupi untuk menampung permintaan ketika puncak dan tempoh pengeluaran angin atau hidro yang rendah, arang batu akan terus berfungsi sebagai sandaran sistem.
-- BERNAMA