BIMB Investment Lancar Dana Patuh Syariah Sasar Saham Bermodal Kecil
KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- BIMB Investment Management Bhd (BIMB Investment), anak syarikat Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam), memperkenalkan BIMB Opportunities Fund (BOF), iaitu dana patuh syariah yang menyasarkan potensi pertumbuhan saham bermodal kecil, dengan sasaran saiz dana sebanyak RM50 juta pada tahun ini.
Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Perbankan Institusi Bank Islam Sharifah Sarah Syed Mohamed Tahir berkata dana itu menyasarkan pulangan tahunan antara lapan peratus dan 10 peratus, tertakluk kepada keadaan pasaran.
“Kami amat teruja dengan dana baharu ini. Kami sangat strategik dalam pemilihan saham, dengan menyasarkan saham bermodal kecil di Bursa Malaysia. Bagi syarikat kecil yang kami laburkan, pertama sekali, ia membuka idea bahawa mereka perlu terus patuh syariah kerana terdapat permintaan dalam ruang pelaburan patuh syariah.
“Insya-Allah, sasaran saiz dana kami untuk tahun ini adalah sekitar RM50 juta dan jika kita lihat pada ekonomi Malaysia khususnya pada suku pertama tahun ini, pertumbuhan telah dipacu oleh syarikat bermodal kecil dan sederhana,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran dana itu di sini hari ini.
Sharifah Sarah berkata pihaknya menyasarkan pelabur runcit dan berharap lebih daripada 70 peratus pelabur dalam dana itu akan terdiri daripada segmen runcit.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment Amran Zaki Mohd Nasir berkata antara kelebihan melabur dalam saham bermodal kecil adalah kerana sebahagian daripadanya merupakan permata tersembunyi yang masih belum mendapat perhatian meluas pasaran.
"Sebagai contoh, Inari Amertron Bhd bermula sebagai syarikat perkhidmatan teknologi maklumat yang kecil, tetapi kini ia telah berkembang menjadi sebuah syarikat yang lebih besar. Press Metal Aluminium Holdings Bhd pula adalah satu lagi contoh. Hari ini, syarikat itu merupakan salah satu komponen FBM KLCI.
"Apa yang kami cuba lakukan adalah mencari permata tersembunyi dalam kalangan saham bermodal kecil. Sebaik sahaja kami melabur dalam syarikat-syarikat ini dan mereka berkembang, mereka boleh menjadi syarikat yang lebih besar dan berpotensi untuk menjadi sebahagian daripada konstituen FBM KLCI," tambah beliau.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Pengerusi BIMB Investment Datin Maznah Mahbob; Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Perbankan Runcit Bank Islam Mizan Masram dan Ketua Ekuiti BIMB Investment Nazifah Mohd Arshad.
Dalam satu kenyataan, Bank Islam memaklumkan BOF ditawarkan dalam denominasi ringgit, dengan pelaburan awal minimum sebanyak RM500 dan pelaburan seterusnya bermula daripada RM200, menjadikannya mudah diakses oleh kumpulan pelabur yang luas.
Dana yang bersifat terbuka ini membolehkan pelabur membuat pelaburan mereka pada bila-bila masa.
Sehingga kini, BIMB Investment menguruskan 17 dana pelaburan, termasuk mandat persendirian meliputi tujuh dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) patuh syariah dengan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) bernilai kira-kira RM1.7 bilion setakat 30 April, 2026.
Pelabur boleh melanggan BOF dengan menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank Islam di talian 03-26900900, menghantar e-mel ke contactcenter@bankislam.com.my atau mengunjungi mana-mana cawangan Bank Islam. Harga harian dan maklumat lanjut berkenaan dana itu boleh didapati di laman web BIMB Investment di www.bimbinvestment.com.my.
-- BERNAMA