Lebih 8,500 PKS Penjagaan Kesihatan Bakal Raih Manfaat Kerjasama Credibill, Pharmaniaga

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Lebih 8,500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor penjagaan kesihatan di seluruh rangkaian Pharmaniaga Bhd dijangka mendapat manfaat daripada kerjasama strategiknya bersama CrediBill Sdn Bhd yang menawarkan fleksibiliti pembayaran bagi pembelian produk farmaseutikal dan penjagaan kesihatan.

Credibill adalah platform Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) B2B Malaysia yang dikuasakan oleh CapBay.

Kerjasama ini bertujuan menangani tekanan aliran tunai yang berterusan dihadapi oleh PKS penjagaan kesihatan dalam sektor penjagaan kesihatan primer swasta Malaysia.

“Di bawah kerjasama ini, lebih daripada 8,500 penyedia perkhidmatan kesihatan dalam rangkaian Pharmaniaga akan mendapat manfaat daripada tempoh pembayaran lanjutan sehingga 90 hari bagi pembelian produk farmaseutikal dan penjagaan kesihatan mereka tanpa sebarang kos tambahan.

"Pembeli yang menyertai program ini juga mempunyai pilihan untuk melanjutkan tempoh kredit mereka melebihi 90 hari melalui platform BNPL CrediBill pada kadar yang berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan bersama di sini, hari ini.

Sebagai penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan bersepadu terbesar di Malaysia, Pharmaniaga memainkan peranan penting dalam memastikan ketersediaan dan pengedaran ubat-ubatan serta produk penjagaan kesihatan di seluruh negara. 

Kerjasama ini melengkapi usaha berterusan Pharmaniaga untuk memperkukuh daya tahan rantaian bekalan penjagaan kesihatan dengan menyokong kemampanan kewangan penyedia perkhidmatan kesihatan.

Menurut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), lebih 70 peratus daripada 10,000 klinik swasta di negara ini menjana pendapatan kurang daripada RM60,000 sebulan, dengan ramai yang bergelut untuk mengekalkan operasi berikutan peningkatan kos serta ketidakpadanan antara pembelian stok secara pendahuluan dan pembayaran balik insurans yang tertangguh. 

Pengarah CrediBill merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CapBay Ang Xing Xian berkata kerjasama ini merupakan permulaan mereka dalam misi membina ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih berdaya tahan dari segi kewangan di Malaysia.

"Kami berharap dapat memperluaskan lagi penyelesaian kami bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pemilik perniagaan penjagaan kesihatan pada tahun-tahun akan datang," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pharmaniaga Datuk Zulkifli Jafar berkata inisiatif bersama Credibill mencerminkan komitmen Pharmaniaga untuk memperkukuh akses kepada penjagaan kesihatan serta menyokong penyedia perkhidmatan yang berkhidmat kepada komuniti di seluruh negara.

“Kerjasama ini merupakan satu langkah penting ke arah meningkatkan akses kepada pembiayaan bagi penyedia perkhidmatan kesihatan di seluruh Malaysia," kata beliau.

-- BERNAMA