Bursa Malaysia Keluar Pertanyaan UMA Kepada Tanco Selepas Harga Saham Jatuh

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Tanco Holdings Bhd telah menerima pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) daripada Bursa Malaysia Securities Bhd berikutan kejatuhan mendadak dalam harga sahamnya pada Isnin.

Pada penutupan, saham itu jatuh 29.56 peratus atau 47 sen, kepada RM1.12, dengan 30.49 juta saham diurus niaga.

“Dalam hal ini, pelabur dinasihatkan untuk mengambil perhatian terhadap jawapan syarikat kepada pertanyaan UMA, yang akan dipaparkan di laman web Bursa Malaysia di bawah pengumuman syarikat, apabila membuat keputusan pelaburan mereka,” kata bursa melalui satu pengumuman hari ini.

Bursa juga telah mendapatkan penjelasan daripada pemaju hartanah itu sama ada terdapat sebarang perkembangan korporat yang tidak diumumkan berkaitan perniagaan dan hal ehwal kumpulan itu, termasuk yang sedang dalam rundingan atau perbincangan yang boleh menyumbang kepada aktiviti perdagangannya.

Ia turut bertanya sama ada Tanco mengetahui sebarang khabar angin atau laporan mengenai perniagaan dan hal ehwalnya yang mungkin menyumbang kepada aktiviti perdagangan hari ini.

 

-- BERNAMA