IPO Sum Technology Terlebih Langganan 110.54 Kali Menjelang Penyenaraian Di Pasaran ACE
KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Tawaran awam permulaan (IPO) firma perkhidmatan kejuruteraan Sum Technology Bhd (Sum Technology) terlebih langganan sebanyak 110.54 kali ganda menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 18 Jun 2026.
IPO itu melibatkan penerbitan 117 juta saham biasa baharu, terdiri daripada 22.5 juta saham yang disediakan bagi permohonan oleh orang awam Malaysia dan 4.5 juta saham yang disediakan untuk pekerja kumpulan tersebut yang layak.
Ia turut melibatkan 56.25 juta saham yang disediakan menerusi tawaran saham persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), serta 33.75 juta saham melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih.
Menurut Sum Technology, ia menerima 19,834 permohonan daripada orang awam Malaysia bagi 2.51 bilion saham IPO bernilai RM702.7 juta.
“Bagi bahagian Bumiputera, 8,873 permohonan diterima bagi 820.61 saham baharu, menghasilkan kadar terlebih langganan sebanyak 71.94 kali ganda.
“Sementara bagi bahagian awam, 10,961 permohonan diterima untuk 1.69 saham baharu, yang bermaksud kadar terlebih langganan sebanyak 149.14 kali ganda,” katanya.
Sum Technology berkata 4.5 juta saham yang disediakan untuk permohonan oleh pekerja yang layak telah dilanggan sepenuhnya, manakala 56.25 juta saham yang diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI juga telah dilanggan sepenuhnya.
Selain itu, katanya, sebanyak 33.75 juta saham yang diperuntukkan kepada pelabur terpilih menerusi tawaran saham persendirian telah dilanggan sepenuhnya.
Tambah Sum Technology, notis peruntukan akan diposkan kepada semua pemohon yang berjaya pada 15 Jun 2026.
Dalam pada itu, IPO yang berharga 28 sen sesaham tersebut, dijangka mengumpul sebanyak RM32.76 juta.
Malacca Securities ialah penasihat utama, penaja dan ejen penempatan IPO itu.
-- BERNAMA