Tumpuan Kekal Pada Perbelanjaan Pembangunan Dalam Belanjawan 2027 - Akmal Nasrullah 

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Kementerian Ekonomi akan terus memberi fokus kepada pembelanjaan pembangunan dalam Belanjawan 2027 yang dijangka dibentangkan pada Oktober ini, kata Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata semua kementerian telah mengemukakan cadangan pembangunan masing-masing dan proses penilaian sedang dijalankan di peringkat kementeriannya melalui mekanisme bidaan.

“Pada masa yang sama, kita juga akui bahawa 2026 adalah tahun yang memerlukan kita menguruskan ekonomi dalam keadaan krisis. Oleh sebab itu, bagi persediaan 2027, Kementerian Ekonomi melihat kepada sudut pembangunan.

“Proses libat urus perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Setakat hari ini, semua kementerian telah mengemukakan cadangan perancangan pembangunan mereka untuk 2027,” katanya kepada pemberita selepas sesi menteri dalam Invest Malaysia di sini hari ini.

Akmal Nasrullah berkata penelitian secara terperinci terhadap perancangan pembangunan tersebut akan mula dijalankan bulan depan.

Katanya kerajaan kekal komited terhadap pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), termasuk sasaran perbelanjaan pembangunan kira-kira RM619 bilion sepanjang tempoh lima tahun pelaksanaannya.

Mengenai lambakan produk e-dagang dari China dan penyertaan perniagaan asing dalam pasaran tempatan, beliau berkata kerajaan perlu mengekalkan keseimbangan antara memudahkan urusan perniagaan dan memastikan persaingan yang adil kepada pemain tempatan.

Akmal Nasrullah berkata kemudahan menjalankan perniagaan adalah penting tetapi pada masa yang sama, kerajaan perlu mengelak persaingan tidak sihat yang boleh menjejaskan perniagaan tempatan.

Katanya isu itu telah dibentangkan kepada Kabinet dan bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang diterajui oleh Kementerian Kewangan untuk meneliti perkara itu secara menyeluruh yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi.

“Antaranya ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang bertanggungjawab terhadap aspek kepenggunaan, selain Kementerian Usahawan dan Koperasi yang mengendalikan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana,” katanya.

-- BERNAMA