Bursa Malaysia Ditutup Rendah Susulan Sentimen Berhati-hati

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup lebih rendah pada Selasa berikutan pelabur mengambil pendekatan berhati-hati susulan ketidakpastian luaran sambil memantau data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang akan diumumkan serta perkembangan mengenai gencatan senjata Israel-Iran yang masih belum stabil.

Pada 5 petang, Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.02 mata kepada 1,675.50 berbanding 1,679.52 semasa ditutup pada Isnin.

FBM KLCI dibuka meningkat 8.41 mata kepada 1,687.93 pada awal dagangan dan bergerak antara 1,675.04 hingga 1,687.93 sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 570 berbanding 533 manakala 548 kaunter tidak berubah, 1,024 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan menyusut kepada 3.76 bilion unit bernilai RM2.90 bilion berbanding 3.48 bilion unit bernilai RM2.92 bilion pada Isnin.

Ketua Penyelidikan Berjaya Research Sdn Bhd Kenneth Leong berkata FBM KLCI menyusut pada Selasa apabila tidak meneruskan kenaikan ketika dagangan harian dan tidak mengikut trend pemulihan  dalam kebanyakan pasaran serantau lain.

Menurutnya keadaan itu dipengaruhi oleh tekanan jualan dalam saham wajaran tinggi sektor sarung tangan dan telekomunikasi.

“Melangkah ke hadapan, FBM KLCI sedang berusaha untuk menstabilkan keadaan selepas mengalami turun naik baru-baru ini walaupun laluan ke arah pemulihan yang mampan masih belum jelas.

“Hala tuju dalam masa terdekat ini akan banyak dipengaruhi oleh faktor luaran, dengan pelabur memberi tumpuan kepada data inflasi AS yang akan diumumkan esok. Ini adalah data penting yang boleh mengubah jangkaan pasaran terhadap trajektori kadar faedah Rizab Persekutuan,” katanya kepada Bernama.

Leong berkata, dari sudut teknikal, indeks utama telah memperlihatkan kecenderungan penyusutan harga sekali gus menandakan tekanan jualan berterusan, dengan paras sokongan segera pada 1,672 dan seterusnya pada 1,665.

"Sementara itu, paras rintangan jangka pendel kekal pada paras psikologi 1,700, diikuti 1,707 mata," katanya.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata siasatan semula oleh Pentagon terhadap beberapa syarikat besar China turut mempengaruhi sentimen pasaran.

“Fokus pasaran masih tertumpu kepada inflasi AS dengan bacaan inflasi yang lebih tinggi menguatkan lagi jangkaan bahawa kadar faedah terus meningkat untuk tempoh lebih panjang sekali gus menjejaskan minat risiko global.

"Walaupun kenaikan harga minyak dijangka mengekalkan inflasi keseluruhan melebihi empat peratus dalam masa terdekat, kami menjangka tekanan inflasi semakin berkurangan secara beransur-ansur menjelang akhir tahun sehingga 2027.

“Keadaan ini berpotensi mewujudkan persekitaran yang lebih menyokong bagi aset berisiko," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut lapan sen kepada RM10.62, Public Bank rendah satu sen kepada RM4.77, Tenaga Nasional menyusut enam sen kepada RM14.14, CIMB rendah dua sen kepada RM7.37 manakala IHH Healthcare meningkat 10 sen kepada RM8.70.

Antara saham aktif, Hong Seng Consolidated meningkat setengah sen kepada 1.5 sen, Zetrix AI naik setengah sen kepada 82.5 sen, TFP Solutions menokok tiga sen kepada 8.5 sen manakala Tanco susut 32 sen kepada 80 sen.

Bagi kaunter paling untung, Nestle melonjak RM2.44 kepada RM94.44, Malaysian Pacific Industries menambah RM1.30 kepada RM46.80, Ajinomoto meningkat RM1.06 kepada RM15.48, Concrete Engineering naik 91 sen kepada RM4.90 dan Vitrox meningkat 42 sen kepada RM7.16.

Antara saham paling rugi, FACB susut 19 sen kepada RM1.66, Petronas Gas rendah 18 sen kepada RM17.32 dan Sunway berkurangan 12 sen kepada RM5.13.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas rendah 18.12 mata kepada 12,451.96, Indeks FBM Top 100 susut 23.50 mata kepada 12,291.99 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 7.66 mata kepada 12,435.38.

Indeks FBM Mid 70 menyusut 8.62 mata kepada 18,001.77 manakala Indeks FBM ACE naik 79.30 mata kepada 4,727.68.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 63.60 mata kepada 19,496.88, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.33 mata kepada 196.68, dan Indeks Tenaga berkurangan 3.31 mata kepada 787.63 manakala Indeks Perladangan meningkat 17.04 mata kepada 8,742.44.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 2.22 bilion unit bernilai RM2.57 bilion daripada 1.68 bilion unit bernilai RM2.53 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 997.45 juta unit bernilai RM155.37 juta daripada 1.25 bilion unit bernilai RM188.07 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 550.14 juta bernilai RM171.11 juta daripada 545.18 juta unit bernilai RM194.35 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 178.92 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (323.70 juta), pembinaan (98.31 juta), teknologi (974.91 juta), perkhidmatan kewangan (82.85 juta), hartanah (181.73 juta), perladangan (29.76 juta), amanah pelaburan hartanah (16.12 juta), dana tertutup (48,900), tenaga (105.01 juta), penjagaan kesihatan (120.62 juta), telekomunikasi dan media (33.30 juta), pengangkutan dan logistik (32.40 juta), utiliti (37.62 juta), dan amanah perniagaan (23,000).

-- BERNAMA