Malaysia Perlu Perkukuh Ekosistem Teknologi, Supaya Kekal Kompetitif - Liew

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Malaysia perlu memperkukuh keupayaan teknologi serta membangunkan ekosistem menyeluruh yang menyalurkan modal, bakat dan kepakaran kepada sektor teknologi bernilai tinggi, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.

Beliau berkata usaha sedemikian akan membolehkan negara membina daya saing jangka masa panjang dan bersedia untuk memanfaatkan pembangunan teknologi masa hadapan.

“Bagi saya, inilah masa untuk memperkukuh keupayaan Malaysia sebagai pemain tengah. Apabila kita membina ekosistem keseluruhan yang menyalurkan modal kepada teknologi maka bagi jangka masa panjang, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak lagi terlalu berminat kepada hartanah sebaliknya tumpuan bakat mereka terarah kepada teknologi.

“Apabila mempunyai ekosistem dan kepakaran, kita akan menjadi kukuh. Ketika gelombang seterusnya melanda dan perkara baharu berlaku, kita akan menjadi pemain teknologi yang sangat relevan,” katanya pada sesi panel bertajuk “Bringing the Missing Link: Investment to Listing Pathway” di Invest Malaysia 2026 di sini hari ini.

Liew berkata Malaysia perlu memanfaatkan kedudukannya sebagai pemain tengah yang penting dalam rantaian bekalan global untuk membina ekosistem teknologi domestik yang lebih kukuh.

“Pemain tengah yang penting ini saya anggap sebagai pengaruh strategik yang boleh dimanfaatkan untuk membina ekosistem yang wajar,” katanya.

Beliau berkata perubahan dinamik rantaian bekalan global memberi peluang kepada Malaysia untuk memperkukuh kedudukannya dalam industri semikonduktor serta membina negara dipacu teknologi.

Ekonomi global kini tidak mengutamakan kecekapan semata-mata, sebaliknya turut mencipta peluang untuk kepada negara seperti Malaysia melakukan peranan lebih besar dalam industri strategik, katanya.

“Dahulu, kita melakukan kerja peringkat rendah, ketika itu tidak ada keperluan untuk Malaysia melakukan perkara yang lebih sofistikated kerana China ada ketika itu. Bagaimanapun, pada masa kini kita telah beralih daripada mengejar kecekapan kepada merealisasikan daya tahan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia perlu menggalakkan lebih banyak syarikat tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berkembang, menyertai kerjasama rantaian bekalan yang lebih erat dan seterusnya muncul sebagai syarikat multinasional.

Beliau berkata negara kini sangat bergantung kepada idea bahawa Malaysia memerlukan pelaburan langsung asing (FDI) untuk memacu ekonomi.

“Sudah tiba masanya untuk kita juga menyasarkan supaya dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, akan ada syarikat multinasional Malaysia yang beroperasi di seluruh rantau ini,” katanya.

Liew berkata daya saing masa depan Malaysia bergantung kepada keupayaan negara memanfaatkan kelebihan sedia ada dalam semikonduktor dan meletakkan kedudukan negara sebagai pemain tengah yang penting dalam rantaian bekalan global.

“Bagaimana kita melihat Malaysia sebagai negara teknologi, sebagai pemain tengah yang penting dalam rantaian bekalan global? Saya berpandangan inilah yang akan menjadi masa depan Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA